December 1, 2022

Demi Semua Ippo Hafiz

KUANTAN: Penyanyi dan komposer Ippo Hafiz berkata dia masih aktif dalam radar dunia seni meskipun seolah-olah menperlahankan rentaknya.

Peluang bertemu Ippo pada sesi pelancaran lagu Demi Semua sempena pelancaran pembangunan kawasan Paya Besar di sini baru-baru ini digunakan untuk bertanya khabar kepada lelaki berbakat besar ini

Pemilik nama sebenar Muhammad Hafiz Yazizz, 33 berkata, dia memilih untuk muhasabah diri seketika selepas berdepan beberapa masalah kesihatan pada diri.

“Saya pernah diserang bell palsy secara tiba-tiba membuatkan saya sedar apa saja boleh berlaku pada diri kita.

“Saya juga mula tersentak bila melihat orang yang dikenali meninggal dunia tanpa disangka membuatkan saya rasa hidup sangat fragile,” katanya.

Ippo bagaimanapun berkata, dia tetap aktif berkarya termasuk mengendalikan projek bersama artis popular seperti Zara Zya dan Janna Nick.

Akuinya, dia mahu berusaha menjadi insan yang lebih baik dan bertanggungjawab dalam semua hal.

“Saya masih belajar dan mahu seimbangkan hidup saya. Saya tidak pandai dan mengaku ada berjumpa dengan ustaz untuk belajar.

“Kita semua masing-masing boleh perbaiki diri seperti juga saya sebab kita manusia dan tak mungkin sempurna,” katanya.

Mengenai sisi kerjaya seninya, Ippo berkata dia kini juga mula mencuba karya lagu-lagu bersifat patriotik.

Terbaharu projek lagu bersama Parlimen Paya Besar di sini menerusi lagu Demi Semua yang digarap bagi menyemai semangat bersatu padu dan saling menjaga antara satu sama lain.

“Saya gembira dengan projek lagu ini apatah lagi saya sendiri anak jati Kuantan dan apabila diberikan peluang ini saya sambut dengan hati terbuka,” katanya.

Lirik lagu berkenaan turut mendapat sentuhan Ahli Parlimen kawasan berkenaan Datuk Mohd Sahar Abdullah yang juga Timbalan Menteri Kewangan.

Pada majlis yang sama turut dilancarkan Buku Paya Besar dan Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts