April 25, 2025

Kembara: Ini Muzik Sekarang

KUALA LUMPUR: Selepas yang terakhir pada 2014, kumpulan Kembara kembali dengan Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah pada 31 Julai ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Konsert yang bakal membariskan Datuk M.Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan turut mengheret penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Kumpulan Kembara sudah memulakan persiapan sejak dua bulan lepas dan membayangkan bahawa banyak lagu yang akan dimainkan khusus untuk para peminat setia mereka.

“Kita banyak nak kena main lagu-lagu yang kita belum pernah mainkan lagi. Jadi praktis kena lebih.

“Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, istimewanya kerana lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun.

“Tak disangka bila Kembara semak balik lagu-lagu kita ada, kita sendiri jadi ‘ehh lagu ni sedap’ dan patut diketengahkan sebelum ini,” ujar mereka bersama.

Bagi M. Nasir, konsert kali ini disifatkan
sebagai suara satu generasi.

“Istimewanya konsert ini kerana ia merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80 an. Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi senikata.

“Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia,” terangnya yang merupakan vokalis dan pengasas kumpulan ini.

Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) sudah dijual mulai 10 Jun 2022 lalu menerusi www.myticket.asia

Shiraz Projects mengharapkan para peminat Kembara khususnya akan mendukung konsert ini. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts