December 8, 2024

Siti Seronok Kembali Belajar Bersama RichWorks

LANGKAWI: Penyanyi dan usahawan tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui teruja kembali bergelar belajar selepas hampir tiga dekad menamatkan zaman persekolahan.

Siti berkata, beliau seronok dengan keputusan yang diambil untuk kembali menambah ilmu berkaitan perniagaan yang diusahakan.

“Saya seronok bila join kelas kali ini dan membuat tugasan memang saya akui banyak belajar benda baharu.

“Saya belajar bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk saya kongsikan dengan mereka yang berkhidmat bersama saya,” katanya ketika ditemui di sesi permentoran premium RichWorks di The Datai, Pulau Langkawi baru-baru ini.

Penyanyi lagu Anta Permana itu berada di pulau berkenaan kerana dipilih dan bersetuju menjadi Titanium Premier-Partner di bawah RichWorks International.

Pengasas produk kecantikan Simplysiti itu juga mengakui antara ilmu awal yang dipelajari pada sesi eksklusif premium usahawan Richworks itu ialah pentingnya mengadakan koloborasi dalam perniagaan.

“Saya yakin koloborasi dengan RichWorks sebagai contoh akan bantu meluaskan perniagaan saya termasuk menstruktur semula pasaran dan jenama.

“Sebagai langkah awal saya memilih untuk memberikan fokus pada produk kecantikan saya termasuk mengintai pasaran Indonesia,” katanya.

Tambah Siti, langkah menyertai RichWorks juga bagi mencapai sasaran oleh Datuk Dr Azizan Osman sendiri yang meletakkan sasaran jualan mencecah RM200 juta buat Simplysiti dalam satu majlis sebelum ini.

Lebih dari itu, kata ibu kepada dua cahaya mata itu, syarikat perunding perniagaan milik Dr Azizan sudah cukup dikenali ramai kerana melahirkan jutawan hebat dalam kalangan usahawan.

“Di sinilah universiti untuk para usahawan berjaya. Jadi saya tidak mahu ketinggalan mencapat kejayaan seperti mana diraih anak didik beliau,” katanya.

Dr Azizan ketika ditemui berkata, sasaran Simplysiti itu boleh dicapai menjelang 2024 termasuk mengukuhkan kedudukan di pasaran Indonesia.

“Semua ini Insya-Allah boleh dicapai dengan perancangan yang lebih sistematik dan kerjasama antara pihak RichWorks dengan pihak Datuk Siti.

“Terima kasih kepada Tokti dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) sebagai Pengerusi SimplySiti atas keyakinan kepada saya dan RichWorks berdasarkan keupayaan kami mentranformasi bisnes malah bangsa usahawan itu sendiri sejak 14 tahun lalu,” katanya.

RichWorks diwakili Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya dan Tokti mewakili SimplySiti menandatangani persetujuan usahasama rakan niaga dan penerimaan rasmi dibimbing sebagai Titan Premier – Partner sambil disaksikan Azizan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts