PETALING JAYA: Siapa sangka muzik underground dan seni dakwah yang memiliki identiti serta pendekatan berbeza mampu berkongsi satu pentas demi menyampaikan mesej perjuangan yang sama.
Itulah kelainan yang diketengahkan menerusi acara Dua Dunia, Satu Suara, gabungan GIG-HARD dan Palestin Bangkit yang berlangsung di Live Fact KL, Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu.
Menyatukan dua komuniti seni yang jarang bertemu, acara ini membuktikan bahawa solidariti terhadap Palestin tidak mengenal genre muzik, penampilan mahupun latar belakang masyarakat.
Lebih daripada sekadar persembahan hiburan, penganjur mahu menjadikan pentas tersebut sebagai medium kesedaran bahawa perjuangan Palestin bukan hanya berkisar tentang bantuan kemanusiaan, tetapi turut melibatkan hak kebebasan, keadilan dan kemerdekaan.
Mengangkat konsep unik, acara ini mempertemukan seni dakwah dan muzik alternatif menerusi persembahan berselang-seli yang memberi peluang kepada kedua-dua kelompok penonton mengenali serta menghargai ekspresi seni masing-masing.

Antara yang menjayakan acara tersebut termasuk penampilan khas pelawak terkenal Saiful Apek, kumpulan nasyid Fetya serta barisan band Late Night Frequency, Maddame, Color Heart, As Our Throne, Tebabo! dan Jemson.
Persembahan turut diserikan dengan pengisian teater, monolog dan puisi termasuk Monolog Fajar, Aku Masih Bernafas, Fitnah Dajjal, Monolog Rafa, Kongsi Puisi dan Thaurah Palestin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Komuniti Dakwah Dan Tarbiah, Naim Rais, masyarakat tidak seharusnya melihat Palestin hanya melalui gambaran kemusnahan dan penderitaan, sebaliknya memahami perjuangan panjang rakyatnya untuk mendapatkan kembali hak serta kebebasan.
“Kita sering melihat Palestin hanya melalui gambar runtuhan dan kotak bantuan. Itu benar, tetapi itu bukan keseluruhan cerita. Palestin ialah sebuah bangsa yang sedang memperjuangkan kemerdekaannya.”
Beliau turut menegaskan bahawa penyatuan dua komuniti seni ini membawa mesej penting bahawa perjuangan Palestin merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira latar belakang.

Penganjur juga berharap kesedaran yang dibangkitkan tidak terhenti dengan rasa simpati semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan berterusan termasuk bersuara, menyokong gerakan boikot serta mendidik masyarakat mengenai isu Palestin.
Keistimewaan Dua Dunia, Satu Suara terletak pada keberanian mempertemukan dua kelompok seni yang lazimnya bergerak dalam ruang tersendiri, namun kali ini disatukan atas satu tujuan.
Acara yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 11 malam itu turut membawa simbolik tersendiri apabila diadakan bersempena tiga tahun sejak 7 Oktober 2023.
Dianjurkan oleh Orang Biru, FullStag Artelier dan We Are Magnificent dengan kerjasama Bumi Mikraj, penganjuran ini diharap dapat memastikan suara solidariti terhadap Palestin terus bergema merentasi komuniti dan generasi.
Kerana akhirnya, perjuangan tidak semestinya disuarakan dengan cara yang sama. Ada melalui muzik, ada melalui puisi dan ada melalui dakwah. Namun apabila matlamatnya adalah keadilan dan kebebasan, dua dunia yang berbeza mampu bersatu dalam satu suara. – GIT MEDIA
