SEMUA PESERTA ATNMY BOLEH MENYANYI
KUALA LUMPUR : Kesemua peserta rancangan realiti terbaharu Astro All Together Now Malaysia (ATNMY) terdiri daripada mereka yang memang boleh menyanyi.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Mohd Kamal kepada Gayah mengenai rancangan yang bakal disiarkan malam ini.
“Kesemua mereka memang boleh menyanyi dan ada yang memang berpengalaman sebagai penyanyi.
“Mereka dipilih menerusi sesi uji bakat yang diadakan dan bersaing sengit sesama mereka,” katanya.
Lebih menarik, Malaysia ialah negara pertama Asia Tenggara dan ke 17 didunia yang mengambil format dan menyiarkan All Together Now versi negara kita.
ATNMY ialah adaptasi daripada format antarabangsa popular ‘All Together Now’ yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.
Program ini juga turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format tersebut telah diadaptasi semula di serata dunia termasuklah Australia, Rusia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland, Perancis dan sebagainya.
Rancangan ini juga bakal menyaksikan jumlah bilangan juri profesional dan peserta yang cukup besar,seramai 50 juri tetap dan hampir 250 jumlah keseluruhan peserta untuk musim pertama.
50 juri tetap tersebut terdiri daripada barisan penggiat seni tersohor tanah air merangkumi pelbagai cabang seni yang berbeza seperti penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara, personaliti media sosial dan sebagainya.
ATNMY dihoskan selebriti popular, Sherry Alhadad serta Datuk AC Mizal bertindak sebagai Ketua Juri.
Erra Terbuka Hati
Primadona Seni Erra Fazira mengakui hatinya terbuka untuk duduk di satu dari kerusi juri ATNMY kerana konsep rancangan ini yang menarik.
“Bukan hanya soal duduk atau berdiri, tapi kita boleh lihat sendiri keberanian peserta membuat persembahan di hadapan juri yang ramai.
“Mereka semua memang hebat dan berbakat serta banyak membuka mata saya mengenai bakat yang ada di negara ini,” katanya.
Selain Erra, kerusi juri antaranya turut diisi oleh Syamel, Ernie Zakri, Siti Nordiana, Zizan Razak, Zizi Kirana, Jaclyn Victor, Bob Yusof, Nana Mahazan, Shiha Zikir, Sissy Imann, Chubb-e, Mimi Fly, Azzam Sham, Dafi Ismail, Azira Syafinaz, Liza Hanim, Kaka Azraff, Alvin Chong, Daniel Cheang, Vanessa Reynauld, Neeta Manisha dan Thanuja.
Gayah tak sabar nak tunggu malam ini. Sebab kalau versi luar negara memang hebat ATN ni. Bakat yang bertanding bukan calang-calang. Malaysia pun kan!