KUALA LUMPUR: Hati ibu mana yang tidak sayu apabila terpaksa meninggalkan dan berkorban masa bersama anak untuk mencari rezeki.
Itulah hakikat perang perasaan bagi setiap wanita tidak terkecuali juga penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Lantaran, pelantun lagu Destinasi Cinta itu bercuti selama 10 hari ke Kota Eropah bersama dua permata hatinya, Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa.
“Saya mahu bawa anak-anak bercuti selepas saya sibuk dengan kerja sejak awal tahun ini dalam bidang hiburan juga perniagaan.
“Jadi bila ada masa begini saya dedikasikan sepenuhnya buat Aafiyah dan Afwa selepas ibu terpaksa tinggalkan sebab kerja,” katanya.
Cerita Siti puteri sulungnya, Aafiyah sudah faham dengan rutin ibunya yang keluar bekerja apabila setiap kali Siti bersiap.
“Aafiyah dah pandai. Macam hari ini dia nampak saya bersiap dia suka baju yang saya pakai dan tahu saya akan bekerja.
“Jadi kalau dia nampak saya bagai baju tidur atau baju biasa dia akan gembira kerana tahu saya takkan keluar,” kongsi Siti.
Siti berkata beliau mahu meluangkan masa bagi melangsaikan hutang masa pada kedua-dua anaknya apabila perlu meninggalkan mereka sebelum ini.
Lebih dari itu, ia juga kesempatan yang dikhaskan untuk meluangkan masa sebelum beliau kembali sibuk dengan jadual kerjaya seni dan perniagaan pada bulan mendatang.
Antaranya termasuk bakal menjayakan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza Queen of The Night yang bakal berlangsung pada 7 Ogos depan.
Persembahan eksklusif itu sudah habis dijual dan ditaja oleh Yayasan Metamorphosis yang membeli kesemua 450 kerusi.
“Saya sendiri terkejut dan baru dimaklumkan yayasan menaja dan memberi peluang kepada golongan B40 untuk menonton persembahan ini.
“Terima kasih daripada saya atas usaha ini dan saya akan pastikan semuanya berjalan lancar dan memberikan pengalaman bermakna buat semua yang menonton, Insya-Allah,” katanya.
Siti berkata, dia akan diiringi lima pemuzik dan Aubrey Suwito akan berkhidmat sebagai pengarah muzik.
Presiden yayasan berkenaan, Datuk Razalif Mohamad Zain Razalif berkata keputusan membeli kesemua tempat duduk dalam persembahan makan malam itu dibeli oleh yayasannya khas untuk keluarga yang kurang berkemampuan.
“Kami juga telah menyediakan pengangkutan untuk tetamu dalam bentuk bas ke tempat itu,” katanya.
Persembahan itu dibawakan oleh B De Paris. – GayahIsTyping