Selepas hampir setahun memendam rasa dan menyimpan pelbagai kisah ‘rejection’ serta ‘false hope’, penyanyi Aina Abdul nekad meneruskan misi konsert jelajahnya dengan dana sendiri.
Aina bakal menjayakan konsert jelajah pertamanya, Aina Abdul Imaji Tour di tiga lokasi terpilih mulai Disember depan.
Akui Aina, setiap cabaran yang dihadapi pernah membuatkan dia hampir berputus asa, namun tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk menggapai impian itu.
“Saya tidak sangka akan ‘breakdown’ begini… apabila sudah bertahun dalam industri, saya perasan dan belajar bahawa bukan mudah untuk membuat konsert di Malaysia, tetapi saya suka membuat persembahan.
“Jadi, saya beritahu pasukan saya, walau apapun yang terjadi, Aina Abdul Entertaiment tetap kekal di sini untuk menjayakan apa (konsert) yang telah dirancang,” katanya dalam nada sebak, pada sidang akhbar konsert jelajah itu, di sini baru-baru ini.
Jelasnya, konsert jelajah yang diuruskan oleh Altus Prohouse itu juga merupakan sebahagian daripada usahanya memperkenalkan dan mengukuhkan lagi kedudukan album sulungnya, Imaji, yang dilancarkan pada Oktober 2023.
“Ini bukanlah sekadar persembahan pentas, tetapi juga usaha saya untuk meneroka dan mendekati peminat dari pelbagai golongan dan lokasi. Saya berharap konsert jelajah ini dapat memperluaskan lagi jangkauan muzik kepada pelbagai lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang.
“Ini juga peluang untuk saya berinteraksi lebih dekat dengan peminat dari luar bandar dan pelbagai latar belakang, termasuklah golongan mahasiswa, dengan membawa lagu-lagu daripada album Imaji,” katanya.
Pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36 ini sanggup mengeluarkan dana sendiri bagi memastikan peminat dapat menikmati persembahan yang terbaik.
“Kali ini kita ada strategi. Pengalaman membuat konsert sebelum ini mengajar saya ada perkara boleh dilaksanakan dengan kos rendah. Saya juga ada penasihat yang baik, iaitu abang saya dan boleh menjaga kewangan,” jelasnya.
Konsert jelajah Aina Abdul Imaji Tour anjuran Aina Abdul Entertainment akan berlangsung di tiga lokasi berbeza, iaitu Arena Gemilang, DeTAR PUTRA di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 14 Disember; Zepp Kuala Lumpur (27 Disember) dan Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah (11 Januari 2025).
Tiket bagi persembahan di UUM dan Unimas dijual pada harga RM100 hingga RM180, manakala tiket konsert di Zepp Kuala Lumpur berharga RM288 hingga RM6,666. Turut tersedia tiket untuk Orang Kurang Upaya pada harga RM268. Tiket boleh didapati dalam talian di www.ticket2u.com.my – GayahIsTyping
You may also like
-
Fattah Fazura Cerai: Nafi Curang, Tak Sangka Buka Aib
-
Fazura Fattah Cerai – Abai Nafkah, Tiada Persefahaman Dan Curang
-
Terima Kasih Suria FM – Buka Peluang Penyanyi Dikir Kelantan Ketengahkan Bakat
-
Abang Bomba Pendengar Setia Suria FM – Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire Tarik Peminat Brunei, Singapura
-
Teater Nilamsari – Angkat Perjuangan Seni Dan Persilatan