September 27, 2023

Tak Salah Ada Pelakon ‘Favourite’

KUALA LUMPUR: Ada sesetengah pihak mengandaikan penerbit mempunyai pelakon pilihan atau favourite tertentu dalam memberikan peluang dan tawaran lakonan. 

Malah ada yang sudah boleh cam atau kenal, penerbit tertentu pasti akan mempunyai wajah pelakon yang sering melatari drama atau filem produksinya.

Hal itu tidak dinafikan penerbit Jaja Ishak kerana katanya ia membabitkan beberapa faktor tertentu termasuk komitmen artis berkenaan.

“Ya saya mengaku ada pelakon favourite saya sebab dia memang bagus yang bukan saja menyenangkan saya malah semua tenaga produksi memberikan komen yang baik. 

“Bagi saya sebagai produser pasti saya mahukan pelakon yang berkualiti serta mempunyai disiplin yang baik. Kata orang tak menyusahkan,” katanya.

Mengambil contoh Zoey Rahman, Jaja berkata pelakon itu sangat merendah diri dan sentiasa menjaga waktu serta memberikan komitmen yang bagus setiap kali dipanggil berlakon.

Jaja bersama Zoey pada Majlis Tayang Syawal Awesome TV

Katanya, semua penerbit mahukan pelakon yang memudahkan kerja semua pihak bukan yang berlagak diva atau tamak kaut tawaran sehingga huru hara.

Terdahulu, timbul rungutan dalam kalangan artis yang mendakwa terdapat penerbit yang mempunyai pelakon kegemaran sehingga menyukarkan mereka untuk mendapat tawaran berlakon.

Jaja memantau set penggambaran

Dalam pada itu, Jaja turut menjawab persoalan mengenai isu sama ada ternyata industri seni kekurangan pelakon memandangkan terdapat syarikat produksi yang kerap melakukan sesi uji bakat untuk memilih pelakon.

“Dalam hal ini, bukan soal pelakonya yang tak cukup. Tetapi apabila sesi penggambaran berjalan serentak sekarang ini, maka ramai pelakon tidak dapat memberikan komitmen untuk tawaran lain.

“Pada saya uji bakat yang dijalankan oleh sesebuah syarikat produksi adalah satu inisiatif yang baik dan perlu dilakukan. Ia akan menyuntik persaingan yang sihat dalam kalangan pelapis-pelapis aktor dan aktres tanah air,” katanya.

Jaja atau nama sebenarnya Surja Khairul Ishak pemilik rumah produksi Kembara Sufi Sdn Bhd pernah menerbitkan karya seperti Esok Untuk Kita, Sesalan Terakhir, Dia Kembarku, Saat Kau Takluk Cinta Ini dan Travelogue Backpackers : Balkan. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts