November 27, 2022

Lagu Raya The Jebats Menjadi

KUALA LUMPUR: Untungnya apabila mempunyai adik beradik yang memang berbakat dalam nyanyian malah, secara spontan memberikan idea kepada penyanyi Ayda Jebat mengajak mereka bergandingan. 

Ayda berkata, bagi menaikkan mood raya sekaligus memberikan kelainan, dia berjaya memujuk dua adiknya, Fyna dan Sabira untuk muncul dalam single raya terbaharu berjudul Hari Rayayayaya.

Kali pertama berkolaborasi dalam sebuah single, mereka memilih untuk dikenali sebagai The Jebats.

“Lagu raya ini saya cipta sepenuhnya. Pada mulanya, saya mahu menyanyikan lagu ini sendiri, tetapi selepas difikirkan semula, rasa best juga kalau saya berduet dalam lagu ini. Saya terfikir untuk berkolaborasi dengan dua adik saya, Fyna dan Sabira.

“Sebelum ini, sewaktu zaman persekolahan, kami bertiga dikenali sebagai kumpulan SASSU. Gandingan ini amat bermakna kerana sudah hampir 13 tahun kami tidak menyanyi bersama. Sebenarnya, susah nak pujuk mereka sebab mereka tinggal di Melaka. Tetapi akhirnya semua dipermudahkan. Adik bongsu kami, Danial juga turut menyumbangkan suara.

“Alhamdulillah, mereka datang ke sini untuk proses rakaman serta penggambaran muzik video (MV). Pengalaman yang diperolehi sangat menyeronokkan dan mereka dapat merasai pengalaman menjadi ‘Ayda Jebat’ apabila terlibat dalam proses rakaman dan penggambaran sehingga ke pagi,” katanya.

Mula dikenali menerusi lagu Siapa Diriku ini berkata klip video single Hari Rayayayaya turut menggabungkan elemen Syawal beserta viral dan komedi.

“Konsep MV bertemakan 60-an selari dengan genre single raya ini. Kami masukkan elemen komedi seperti elemen viral Datuk Seri Vida serta adegan Pak Maon singgah ke rumah terbuka The Jebats.

“Kami tak nak terlalu tekankan mood raya semata-mata dalam MV ini, jadi kami selitkan babak lucu dan sedikit berbeza. Insya-Allah jika lagu raya ini berjaya, kami akan merancang untuk merakamkan single komersil untuk dirakamkan bertiga,” katanya.

Bersama suami tersayang Nabil Mahir

Hari Rayayayaya boleh didengari di semua platform digital dan tonton klip video di saluran YouTube Ayda Jebat. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts