September 13, 2024

Baby Shima Ajak Pulang Beraya

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung berjumpa dengan orang tersayang, Syawal kali ini menjadi masa sesuai untuk meluangkan masa bersama.

Selari dengan single raya Baby Shima berjudul Pulang, penyanyi itu mengajak semua menggunakan masa yang ada untuk balik ke mana saja berjumpa dengan orang yang kita sayang pada Syawal kali ini.

“Setelah hampir 2 tahun kita semua tidak berpeluang untuk Pulang ke kampung halaman dek kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia, kini tibalah masanya untuk kita bertemu kembali dengan wajah-wajah yang sangat dirindui. 

“Alhamdulillah, rezeki saya selepas negara memasuki fasa endemik ini semakin mencurah-curah, selain single Raya, saya akan terbang ke Jakarta untuk merakamkan lagu ciptaan Pasha (Ungu), dan kemudian ke Jawa Timur pula untuk berkolaborasi dengan beberapa artis di sana,” kata pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli.

Lagu Pulang ciptaan Ezra Kong mengisahkan keinginan dan hasrat yang mendalam untuk pulang dengan harapan untuk berjumpa kedua orang tua bersempena perayaan yang mulia ini.

“Idea disebalik lagu ini datangnya dari penciptanya sendiri iaitu Ezra yang merasa kecewa kerana tidak dapat pulang ke kampung dan menyambut Lebaran bersama keluarga yang tersayang,” katanya.

Bagi Baby Shima, Ramadan dan Raya pada tahun ini sangat bermakna baginya kerana keadaan yang kembali normal membolehkan aktiviti yang dirindui seperti pulang ke kampung halaman dapat dilakukan seperti sediakala tanpa sekatan.

“Walaupun kerajaan membenarkan kita bergerak ke sana ke sini, virus COVID-19 masih lagi ada, jadi kita sentiasa harus waspada dan menjaga diri.

“Semoga single Pulang ini dapat diterima dan nikmati oleh semua pendengar ketika perayaan nanti, serta memberi harapan untuk kita semua ‘pulang’,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts