November 27, 2022

Suria FM Sasar Terus Melonjak Pada 2022

PETALING JAYA: Peningkatan trend pendengar terutama menerusi medium digital memberikan keyakinan stesen Suria FM untuk terus melakukan lonjakan pada tahun 2022.

Pengurus Besar Stesen Suria FM DJ Lin berkata, sokongan padu pendengar memberikan semangat buat dirinya dan barisan penyampai lain untuk terus berusaha memperbaiki kedudukan dalam stesen radio pilihan pendengar.

“Alhamdulillah dengan pencapaian yang manis dalam survey baru-baru ini dan kita akan terus berusaha memperbaiki kedudukan dan mencuri hati pendengar. 

“Kami di Suria FM sentiasa mengambil kira pandangan dan kegemaran pendengar dalam usaha memastikan mereka melekat dengan stesen kami,” katanya.

Suria FM terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menarik 350,000 pendengar baharu menurut keputusan kaji selidik GFK terkini, bagi pengukuran pendengar radio Wave 1, 2022 berbanding kaji selidik Wave 2, 2021.

Kini Suria FM telah berjaya mencatatkan jumlah pendengar mingguan hampir 3.5 juta pendengar.

Selaku penyampai ikonik stesen itu menerusi segmen Suria Cinta, pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid berkata, radio masih menjadi pilihan utama pendengar pada masa kini.

Lantaran itu, kandungan yang dihidangkan perlu memenuhi citarasa pendengar dalam memastikan mereka kekal dan pada masa sama berjaya mencuri khalayak baharu.

Drama Dodol Tak Bergula menampilkan aktres air mata Wan Maimunah

Mengambil kira hal itu, sempena Aidilfitri yang disambut Isnin lalu, Suria FM tidak ketinggalan dengan lagu raya Pelukan Aidilfitri nyanyian barisan penyampai stesen berkenaan.

Lebih menarik, kesemua mereka turut berlakon dalam drama raya Dodol Tak Bergula yang dihasilkan seratus peratus oleh pasukan stesen berkenaan.

“Kami mahu terus dekat dengan pendengar dan syukur kerana maklum balas yang diterima sangat positif.

“Walaupun ada yang marah kerana saya bawakan watak antagonis tapi mereka tetap tonton sehingga kami trending di YouTube,” katanya.

Dalam pada itu, DJ Lin menambah Suria FM juga sudah merangka siri Jelajah untuk menemui pendengar di seluruh negara selepas negara memasuki fasa endemik Covid-19.

“Nantikan kerana kali ini kami bawakan kelainan sesuai dengan konsep Suria FM pada siri jelajah yang akan diadakan di beberapa lokasi terpilih.

“Kami juga ada beberapa siri CSR yang lain dari lain untuk memastikan Suria FM sentiasa dekat dengan anda,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts