KUALA LUMPUR : Selepas beberapa kali terpaksa ditangguhkan, Teater Dang Anum akhirnya bakal dipentaskan pada 4 dan 5 November ini di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.
Pengarah dan Penerbit Teater Dang Anum, Amirul Haswendy Ashari, bersyukur kerana ada hikmah tersembunyi di sebalik dugaan yang terpaksa dilalui Persatuan Seni & Budaya Redholah (The Redholah) untuk menerbitkan teater Dang Anum.
“Sebelum ini, The Redholah berdepan dengan pelbagai ujian sehingga memaksa kami membuat keputusan yang sangat berat untuk menunda tarikh pementasan di saat-saat akhir.
“Selama hampir dua minggu, kami bermuhasabah dan duduk berbincang mencari penyelesaian dan Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.
“Kami berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana mendengar luahan dan memahami situasi kami,” katanya.
Antara hikmah lain, pementasan ini mendapat kerjasama daripada Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana. Kerjasama ini membabitkan tenaga pengajar dan pelajar-pelajar tersebut dalam seni reka set dan prop yang diketuai pensyarahnya, Mohd Kamil Zulkepeli.
“Kami juga terharu kerana Profesor Dr. Shamsul Rahman Mohamed Kutty, pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi PETRONAS yang juga aktivis teater terkemuka dari Tronoh Theatre Shop sudi berlakon di dalam teater Dang Anum.
“Penampilan istimewa beliau ke dalam teater Dang Anum, pastinya memberi impak tersendiri kepada peminat teater tempatan,” kata Amirul lagi.
Dalam pada itu, pembeli tiket yang telah membeli pas masuk berharga RM10.00 dan memilih untuk kekal bersama-sama The Redholah sebelum berita penundaan, tidak perlu membeli semula.
“Mereka (pembeli awal), hanya perlu memilih untuk menonton pada tarikh dan masa pementasan sahaja.
“Manakala pembeli baharu, pas masuk berharga RM20 (dewasa) dan RM10 (OKU/Kanak-kanak usia 7 – 12 tahun).
“Semua hasil jualan pas masuk akan disalurkan kepada Cinta Gaza Malaysia bagi membantu rakyat Palestin yang sedang berdepan ujian di Gaza dan Tebing Barat,” katanya.
Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum menampilkan Ain Sufia sebagai Dang Anum, Azizul Ammar sebagai Megat Seri Rama/Laksamana Bentan, Along Eyzendy sebagai Sultan Mahmud dan Adam Shahz sebagai Tun Beja Ali.
Selain mereka, teater ini turut menampilkan pelakon teater berpengalaman seperti Md. Hussin, Azhar Jalil, Shareezwan, Myza Alid, Eyza Shariff, Affan Mohd dan ramai lagi.
“Selain itu, kami turut mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat korporat dan badan swasta yang berminat untuk turut serta di dalam program CSR persatuan The Redholah.
“Sumbangan mereka akan disalurkan kepada beberapa program CSR yang kini dalam perancangan,” kata Amirul lagi.
Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum adalah projek pementasan teater bangsawan pertama The Redholah di bawah Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM). – GayahIsTyping
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
FestStar Influencer by Puterabell Saji Hiburan Keluarga – Makan Serta Konsert Percuma
-
PMNI Lahirkan Pendakwah Bertanggungjawab Bukannya Jadi Selebriti – Seimbang Ilmu Dunia Akhirat
-
Festival of Drums and Percussion Malaysia 2024 – Pentas Pemuzik Terbaik Negara
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak