PUTRAJAYA : Jenama baharu dalam arena lawak, Tiro memberitahu mereka dalam misi untuk mempunyai sitcom sendiri.
Tiro yang terdiri daripada Sharif, Syaiful dan Danial Zaini muncul juara dalam Maharaja Lawak Mega 2021 lepas.
Sharif berkata, mereka sepakat sedang berusaha dan merancang untuk memulakan satu sitcom yang pernah popular sebelum ini seperti Senario dalam usaha menghiburkan peminat hiburan lawak di negara ini.
“Kami memang ada beberapa perancangan terutamanya untuk mempunyai sitcom sendiri bagi menghiburkan peminat lawak di negara ini.
“Kita pernah mempunyai beberapa sitcom yang sangat menarik sebelum ini dan kami sepakat untuk menghidupkan kembali rancangan seperti itu,” katanya.
Sharif berkata sitcom itu juga bakal membabitkan rakan-rakan pelawak yang lain untuk bersama-sama kumpulan Tiro.
Danial turut bersetuju dengan perkara ini dan pada masa sama gembira kerana Tiro terus mendapat sokongan peminat selepas kejayaan yang dikecapi sebelum ini.
Katanya, melalui sitcom lebih banyak karya daripada kumpulan itu dapat dikongsikan bersama dan mampu menjadi hiburan sekeluarga.
Danial menambah mereka juga dalam perancangan untuk merakamkan single sulung kumpulan berkenaan.
“Idea rakam lagu ini tercetus bila kami buat muzikal komedi, jadi kami juga teringat momen lagu-lagu etnik yang pernah dirakam oleh senior kami seperti Senario.
“Jadi kami rancang untuk merakamkan lagu dengan konsep sama dengan elemen joget untuk peminat kami,” katanya.
Mengenai hayat kumpulan Zero, iaitu gandingan Sharif, Syaiful dan Atu, ia masih aktif namun akui Sharif, permintaan kini lebih kepada Zero.
“Zero masih ada dan tetap akan bersama. Zero dan Tiro akan berjalan seiring. Sebab masing-masing ada kekuatan.
“Dalam Tiro kami memang mahu Danial memainkan peranan utama dengan gandingan saya dan Melati (Syaiful) serta kami memilih lawak meniru gaya dan suara,” katanya.
Danial menambah, tidak ada isu ganti sesiapa tetapi masing-masing ada cara dan pendekatan tersendiri.
Malah katanya, tidak mustahil untuk Tiro dan Zero bergandingan dalam satu persembahan.
Terdahulu, Tiro meraikan lebih 20 peminat kumpulan itu dalam satu majlis kesyukuran di Restoran Empangan Udang Galah di sini.
Pada majlis itu, hadirin diraikan dengan pelbagai juadah serta aktiviti cabutan bertuah serta bergambar. – GayahIsTyping
You may also like
-
Aina Abdul : Bukit Bintang Done, Bukit Jalil Next!
-
Konsert Milenia Ditunda Ke 25 November, Tampil Persiapan Lebih Meriah
-
Kongsi Kemesraan Dengan Suami Bawa Tuah Pada Fasha Sandha
-
Liza Hanim Sedia Bersaing – Ziana Zain Iktiraf Liza Bak Berlian
-
Kesemua Pelakon Walid Boleh Bersilat – Filem Angkat Seni Mempertahan Diri Melayu