September 23, 2023

Urban Method Kembali

KUALA LUMPUR : Lebih sedekad mendiamkan diri, kumpulan hip hop Urban Method membuat kemunculan di persada seni menerusi single terbaharu berjudul Domo Arigato.

Lagu yang diberi judul dalam bahasa Jepun itu bukan sahaja sebagai buah tangan baharu Urban Method, malah menceritakan kenangan manis lima sahabat bersama.

Kumpulan ini dianggotai oleh Mahadhir Mohd Ismail, 39, Mohd Munawir Anuar, 40, Hazairi Basha Jamel Basha, 39, Muneer Khan Nazir, 37 dan Ahmad Sayuti Ibrahim, 39.

Istimewanya juga, lagu ini telah mendapat sentuhan daripada penyanyi dan komposer Damian Mikhael, Alzy serta Urban Method sendiri yang turut mencipta liriknya.

“Lagu ini menceritakan mengenai reunion kami yang telah berkawan baik selama 16 tahun.

“Domo Arigato bukan sahaja tentang kemunculan semula Urban Method, lebih dari itu ia juga mengimbau kembali tali persahabatan kami dan juga penghargaan buat peminat.

“Terima kasih, thank you mungkin dah biasa. Jadi kami memilih Domo Arigato untuk menunjukkan kelainan yang ditampilkan kali ini dan juga ekspresikan penghargaan kami buat semua,” kata Mahadhir.

Urban Method popular menerusi lagu Wajah Rahsia Hati sekitar tahun 2007, menampilkan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) yang juga penyanyi asal lagu itu.

Urban Method juga melahirkan rasa bangga dan gembira dengan ikatan antara mereka yang tetap utuh meskipun masing-masing mempunyai rutin hidup dan kerjaya tersendiri.

Walaupun kami dah lama berjauhan, ada pekerjaan dan keluarga sendiri namun kami punya hubungan seperti adik-beradik itu masih utuh.

“Masing-masing saling memberi sokongan dan kekuatan persahabatan kami itulah membuatkan terjadinya kemunculan semula ini,” tambah Hazairi.

Lebih bermakna apabila rakan seperjuangan seperti Damian Mikhail, Nico G dan Altimet banyak memberikan sokongan kepada mereka khususnya bagi kemunculan semula ini.

“Kami masih lagi akan kekal dengan konsep hip-hop R&B kerana itulah identiti Urban Method sebelum ini. Bermula dari ‘underground’ sehingga berjaya masuk ‘mainstream’ segalanya tidak akan terjadi tanpa sokongan dari peminat dan rakan-rakan,” kata Sayuti.

Lagu ‘Domo Arigato’ boleh diperdengarkan melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music bermula 31 Oktober 2021.

Manakala video muzik lagu Domo Arigato ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Urban Method Music.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts