KUALA LUMPUR : Penyanyi yang juga komposer sedang mengukir nama, Aina Abdul mengakui lagu Nafas Cinta ditulis memang khas untuk Khai Bahar.
Akuinya, hanya jejaka itu dalam fikirannya ketika menulis single duet mereka itu dan membentuk melodi serta lirik lagu sesuai dengan karakter Khai.
“Hanya Khai Bahar saja dalam fikiran saya ketika menyiapkan lagu ini dan saya gembira kerana projek ini berhasil dan diterima baik,” katanya kepada Gayah
Bagi Aina yang mencuri perhatian dengan single Sumpah sebelum ini, dia selesa bekerjasama dengan Khai meskipun risau pada awalnya.
“Khai menyenangkan dan semua proses rakaman dapat dijalankan dengan baik. Saya agak khuatir mulanya bila Khai datang ke studio kecil saya,” katanya.
Aina bagaimanapun, menolak gimik cinta antaranya dengan penyanyi lagu Bayang itu demi single duet pertama mereka.
“Saya percaya, baik saya atau Khai kami tidak perlukan gimik sebegini kerana apa yang penting keserasian dalam menyampaikan lagu itu yang penting,” katanya.
Senada dengan Aina, Khai juga tidak melihat hal cinta perlu digunakan sebagai strategi untuk projek duet mereka.
Dia berkata, peluang berduet dengan Aina memang satu yang berharga kerana kagum dengan penyanyi berbakat besar itu.
Khai berkata, duet berkenaan ialah percubaan untuk merancakkan lagi kerjaya nyanyian masing-masing.
“Saya juga lega kerana mendapat sokongan dan maklum balas positif daripada kalangan peminat,” katanya.
Lagu Nafas Cinta boleh dilayari di semua platform muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, Youtube Music, Channel YouTube dan juga Apple Music dan serentak itu turut ditayangkan video muzik Nafas Cinta menerusi platform YouTube.
Gayah suka kedua-duanya. Memang kena paduan suara mereka.