April 19, 2024

Cakra Khan Hargai Nilai Ringgit Penonton, Satu Lagi Resume Terbaik

KUALA LUMPUR: Pujian wajar diberikan buat penyanyi dari seberang Cakra Khan yang mempersembahkan Konsert Cakra Khan: A Decade Live in Kuala Lumpur di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Dia membuktikan usia 10 tahun dalam industri seni mempersiapkannya menjadi seorang pengemudi konsert yang bijak dan menakluk hati semua penonton yang mengisi perut dewan.

Konsert ini juga menjadi satu lagi resume cemerlang buat Cakra bergelar penyanyi hebat dalam rantau ini meskipun khalayak mempunyai banyak alternatif penyanyi lain termasuk bakat baharu yang tumbuh setiap hari.

Paling bermakna mesej Cakra, betapa pentingnya mendapat restu kedua orang tua jika mahu berjaya dalam hidup. Cakra membuktikan hakikat itu dengan jelas melalui perjalanan kerjayanya.

Seorang anak yang sentiasa mengagungkan kasih sayang ibu bapa dan setiap mata yang melihat pasti setuju itulah antara rahsia kejayaan Cakra menempa nama sebagai seorang penyanyi terbaik.

Kasih seorang Ibu yang kali pertama menonton konsert anaknya di luar Indonesia.

Konsert tiga jam Cakra berlalu tanpa sedar dengan permainan rasa yang diatur kemas. Penonton tertawa, menari, sebak, mengangis dan kembali gembira dengan setiap saat persembahannya.

Selain luahan rasa akibat kehilangan cinta, lagu ditujukan buat individu paling rapat dengannya iaitu lagu lama berjudul Ayah yang diberikan sentuhan maestro muzik, Datuk Ramli MS antara yang meninggalkan impak.

Merinding bulu roma sebaik alunan muzik berkumandang di segenap ruang diikuti nyanyian serba syahdu hingga membuatkan penonton sebak dan tidak kurang tersedu-sedu menyeka air mata sepanjang Cakra berdendang.

Berkongsi cerita, Cakra mengakui nyanyiannya bermula dengan irama dangdut sebelum bapanya menubuhkan sebuah band bagi memenuhi undangan persembahan pelbagai majlis.

Cakra seboleh mungkin menahan sebak meski linangan air mata muka gugur di hadapan lebih 2,500 peminat setia ketika segmen khas buat bapa, Allahyarham Herman yang dijemput Ilahi dua tahun lalu.

Pemilik nama sebenar, Cakra Konta Paryaman, 31, itu berkata, kehadiran ibu yang sebelum ini pernah menghalang minatnya sebagai penyanyi memberi makna besar dalam perjalanan kerjaya seninya sejak sedekad lalu.

“Ibu antara yang pertama kali protes sewaktu saya mula menyanyi. Teringat ketika dahulu, ibu sering memarahi ketika saya banyak menyanyi di kamar mandi.

“Namun, seiring berjalannya waktu saya banyak belajar menyanyi dan ibu mula menerima sehingga menjadi penyokong tegar anaknya ini. Kebiasaannya ibu bersama bapa saya. Tapi lihat dia sendirian malam ini membuatkan saya beremosi.

“Jadi, ketika membawakan lagu Ayah, saya membelakangi layar putih yang memaparkan video ayah supaya dapat kawal emosi,” katanya usai persembahan.

Cakra juga bijak mengambil hati meyantuni penghibur idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Rossa dengan memilih judul Bukan Cinta Biasa dan Seluruh Cinta, selain lagu Terlalu Cinta (Rossa) untuk dinyanyikan.

Adrenalin penonton terus memacu laju saat lagu sing-a-long nyanyian artis lain seperti Hanya Memuji (Shanty), I Will Survive (Gloria Gaynor), Jealous (Labyrinth) dan Kamelia (Sweet Charity) dihidangkan dengan kelunakan vokal Cakra membuatkan seluruh penonton bangkit serta berdansa.

Melewati fasa akhir konsert dengan lagu Harus Terpisah dan Kekasih Bayangan, Cakra berkongsi pentas dengan teman baiknya, Ade Govinda menyampaikan Hal Terhebat dan Tanpa Batas Waktu.

Keseluruhannya konsert anjuran Seven Skies Motion layak diiktiraf sebagai antara konsert terbaik dalam lambakkan persembahan yang dianjurkan di negara ini sebaik PKP berlalu pergi.

Cakra dan pasukkan penganjur, faham definisi konsert dan nilai ringgit yang dibayar penonton. Terima kasih untuk sebuah kenangan dan halwa telinga yang menjadi belahan jiwa pembuka tirai 2023. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts