PETALING JAYA: Akhirnya kontroversi antara usahawan selebriti Datuk Seri Dr Vida dan Azwan Ali bakal bersambung di mahkamah.
Jutawan itu membuat keputusan setelah berfikir panjang termasuk kesal dengan permohonan maaf yang diibaratkan tidak sepenuh hati oleh Azwan baru-baru ini.

“Saya terluka dan dia sendiri tidak bersungguh memohon maaf. Lebih-lebih lagi apabila hinaan terhadap dua arwah anak saya yang dibuat.
“Hinaan dan kata kesat terhadap arwah anak saya sangat keterlaluan dan meninggalkan kesan mendalam pada saya,” katanya sambil menangis.
Vida menegaskan, tindakan saman itu juga jelas bahawa kejadian yang berlaku ini bukan gimik pernigaan seperti yang didakwa.

“Banyak lagi gimik yang saya boleh lakukan. Bukan dengan kejadian ngeri yang meragut nyawa anak saya.
“Saya masih waras dan takkan saya nak gunakan perkara yang menghantui hidup saya,” katanya.
Tindakan saman itu akan dilakukan melalui peguamnya Adnan dalam masa terdekat dan berkemungkinan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Vida sebelum itu turut meminta pandangan anaknya Cik B berhubung tindakan saman berkenaan pada sidang media yang diadakan hari ini.

Cik B meminta ibunya meneruskan tindakan saman sebagai pengajaran buat Azwan.
“Saya yakin tindakan saman ialah terbaik bagi mengingatkan Azwan supaya tidak sesuka hati menghina dan mengutuk orang lain.
“Bila sama dia akan ingat supaya tidak buat perkara yang sama kepada orang lain,” katanya.
Kemelut antara kedua-duanya berlaku apabila Azwan dikatakan tidak puas hati terhadap layanan Vida di sebuah karnival anjuran Cik B baru-baru ini.
Azwan mendakwa usahanya tidak dihargai dan mendapat bayaran dari pihak Vida.