November 4, 2024

Stellar Berani Hadapi Realiti Dunia Hiburan

KUALA LUMPUR: Kumpulan penyanyi wanita baharu, Stellar mengakui sudah bersiap sedia menempuh realiti dunia hiburan termasuk berdepan dengan apa jua kritikan dan komen daripada peminat serta netizen.

Bagi empat anak muda ini, semua perkara berkaitan itu sudah diambil kira dan masing-masing mempersiapkan diri demi memastikan mereka mampu mempertaruhkan bakat dalam industri muzik.

“Kami mempunyai cita-cita tinggi dan mahu berusaha pergi ke peringkat antarabangsa jika ada rezeki. Jadi kami sudah beritahu sesama kami yang kami perlu kuat fizikal dan mental.

“Ya bukan mudah, perjalanan kami masih panjang dan baru bermula, tetapi kami takkan mudah mengalah,” katanya Farisa ketika sesi minum petang bersam media baru-baru ini anjuran Sony Music.

Mempertaruhkan lagu pengenalan mereka berjudul Where You Wanna Go. Kumpulan ini dianggotai Farisa, Hasya, Sheena, dan Hany, dengan misi mereka sendiri dalam memperjuang hala tuju karier mereka.

Bukan sekadar mahu menjadi penghibur, Stellar juga sebaliknya berhajat memperkasa golongan wanita pada zaman sekarang selari dengan single sulung mereka yang menceritakan tentang persahabatan mereka serta usaha keras untuk menjadi seorang yang berkuasa dan berdikari.

“Mesej dalam lagu ini juga ingin disampaikan adalah tentang persahabatan antara mereka dalam membina karier sebagai kumpulan wanita menetapkan corak pemikiran serta sikap yang tepat.

“Lagu ini secara keseluruhannya berkaitan dengan keyakinan diri juga, antara baris yang kami tekankan dalam lagu ini seperti ‘Akulah ratu, dan raja sekali’, ia memboleh kita untuk hadap apa pun dugaan hidup menimpa kita,” kata mereka.

Bercerita lanjut, kumpulan wanita dari Subang Jaya yang ditubuhkan tahun lalu ini yakin mampu memberi kelainan serta hala tuju tersendiri terutamanya dalam usaha untuk terus memperjuangkan mesej memperkasakan wanita dan berani mempertahankan diri.

“Kami juga yakin bahawa Stellar boleh pergi jauh kerana kami merupakan sahabat sejak zaman sekolah lagi. Dengan gaya kami yang berbeza, kami dapat memberikan impak lebih bermakna dengan gabungan idea berbeza. Lagi mengujakan, jika ada persaingan sebab ia akan lebih tingkatkan motivasi serta semangat yang berkobar-kobar itu.

“Kami berempat memang rapat sebelum wujudnya Stellar pun. Penubuhan kumpulan ini dibuat dengan memerhati dan peroleh banyak idea untuk membawa genre yang berbeza daripada orang lain. Ini baru permulaan dan kami sangat teruja,” kata mereka lagi.

Mengenai imej seksi dan berani yang ditampilkan dalam klip muzik video mereka, kumpulan ini berkata apa yang digayakan ialah bersesuai dengan konsep lagu serta muzik yang dibawa.

“Kami percaya apa yang kami gayakan ialah mengikut kesesuaian dan tidak melampaui batasan,” kata mereka yang juga tidak menganggap kehadiran kumpulan itu sebagai persaingan sebaliknya bagi memeriahkan lagi warna muzik tempatan.

Stellar sebelum ini masing-masing aktif di laman sosial TikTok dengan perkongsian tarian serta nyanyian santai.

‘Where You Wanna Go’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Spotify, Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, YouTube dan YouTube Music. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts