Dihujani Fitnah dan Tuduhan, Sky Empire Enggan Patah Semangat Sebar Kebaikan

IPOH: Bukan mudah untuk terus berdiri apabila nama menjadi bahan kecaman, setiap tindakan dipersoalkan dan niat baik pula disalah tafsir. Namun, bagi pengasas Sky Empire, Ahmad Faizal Sulaiman, semua itu bukan alasan untuk berhenti melakukan kebajikan.

Lebih dikenali sebagai Anarchy Sky di TikTok, Ahmad Faizal mengakui perjalanan membangunkan komuniti berkenaan tidak sentiasa indah apabila pernah berdepan pelbagai kontroversi, tuduhan dan kecaman di media sosial.

Bagaimanapun, pengalaman pahit itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus membantu masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Malah, dia memilih untuk menjadikan setiap cabaran sebagai kekuatan bagi meneruskan perjuangan kebajikan yang dimulakan sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak akan patah semangat atau berhenti berbuat kebajikan hanya kerana diganggu oleh pihak tertentu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Bacaan Tahlil Sky Empire di Kampung Sungai Tapah, Ipoh, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Faizal, kehidupan sebagai individu yang aktif di media sosial sememangnya tidak dapat lari daripada persepsi masyarakat, apatah lagi apabila sesuatu perkara disebarkan tanpa memahami keadaan sebenar.

Dia mendakwa pernah menjadi mangsa salah faham dan fitnah sehingga memberi kesan terhadap emosi serta kehidupan peribadinya, namun enggan membiarkan pengalaman itu menghalangnya daripada terus melakukan kebaikan.

Sebaliknya, pengalaman berkenaan mengajarnya mengenali erti persahabatan dan keikhlasan apabila individu yang pernah dibantu tampil memberikan sokongan ketika dia melalui saat sukar.

Semangat itu diterjemahkan menerusi penganjuran Majlis Kesyukuran dan Bacaan Tahlil Sky Empire pada 10 November lalu apabila kira-kira RM21,000 berjaya dikumpulkan bagi membantu anak yatim, keluarga asnaf dan golongan memerlukan.

Bermula sebagai Sky Kingdom, komuniti yang kini dikenali sebagai Sky Empire itu berkembang dengan hampir 200 ahli yang berkongsi matlamat sama untuk menjadikan aktiviti kebajikan sebagai budaya.

Usaha mereka turut merentasi beberapa negeri termasuk Perak, Selangor, Melaka dan Kelantan dengan memberi perhatian kepada pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang memerlukan bantuan.

Ahmad Faizal menjelaskan Sky Empire masih beroperasi sebagai komuniti sukarelawan dan bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar, sekali gus tidak membuka kutipan derma secara umum.

Sebaliknya, sumbangan digerakkan dalam kalangan ahli serta individu yang secara sukarela mahu membantu, dengan penekanan terhadap pengurusan dan dokumentasi sumbangan yang teratur.

Baginya, populariti di media sosial tidak membawa sebarang makna sekiranya pengaruh yang dimiliki gagal dimanfaatkan untuk membantu insan lain, justeru dia mahu Sky Empire terus menjadi platform menyatukan masyarakat melalui kerja kebajikan.

Biarpun terus berdepan kecaman dan tuduhan, Ahmad Faizal percaya kebaikan tidak seharusnya terhenti hanya kerana pandangan negatif segelintir pihak. Selagi ada insan yang memerlukan bantuan, selagi itulah dia bersama Sky Empire mahu terus menyebarkan kebaikan. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *