SUNGAI BULOH: Penyanyi muda, Iman Troye bukan sahaja tampil dengan percaturan muzik baharu menerusi single Jung Jung Inai, malah turut terbuka berkongsi mengenai status peribadinya yang kini masih solo.
Mengakui pernah cuba mengenali seseorang daripada kalangan industri seni, Iman bagaimanapun berkata pengalaman berkenaan membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam soal memilih pasangan.
Menurut Iman, dia kini lebih selesa sekiranya bakal pasangan datang daripada luar industri seni kerana mahukan kehidupan peribadi yang lebih privasi dan seimbang.
Bagi penyanyi berkenaan, kesibukan kedua-dua pihak sekiranya sama-sama berada dalam industri hiburan juga boleh menjadi antara cabaran dalam sesebuah hubungan.
“Saya lebih selesa single sekarang dan memilih untuk fokus kepada kerjaya nyanyian, lagi pun saya anak bongsu tiada apa yang nak dikejarkan.

“Kalau tanya sasaran mungkin menjelang umur 30 tahun saya akan serius memikirkan soal jodoh, tapi saya serahkan kepada takdir dan saya ok sahaja,” katanya sambal mengukir senyum.
Iman turut mengakui, bagi dirinya lebih baik mengenali lelaki yang salah dari berkahwin dengan lelaki yang salah. Lantaran, dia enggan terburu-buru ke arah itu.
Namun, di sebalik kisah peribadi itu, Iman dilihat semakin serius dalam membentuk identiti muziknya.
Terbaharu, dia tampil menerusi Jung Jung Inai bersama Asslahierah dan XO House, sebuah karya berkonsepkan pop etnik moden yang menggabungkan elemen tradisional Melayu dengan susunan muzik lebih kontemporari.
Iman menambah, dia selesa dengan pengurusan XO House yang menjadi tulang belakang kerjaya seninya. – GIT MEDIA
