SUNGAI BULOH: Dalam lambakan lagu pop moden yang mengejar bunyi semasa, Iman Troye memilih jalan berbeza menerusi single terbaharu, Jung Jung Inai, bersama Asslahierah dan XO House.
Dilancarkan secara rasmi pada 28 Ogos 2026, Jung Jung Inai tampil dengan pendekatan pop etnik moden, menyatukan elemen tradisional Melayu dengan susunan muzik kontemporari yang lebih mesra generasi hari ini.
Bagi GIT Media, kekuatan Jung Jung Inai bukan sekadar terletak pada melodi yang mudah melekat di kepala, tetapi bagaimana sebuah karya berteraskan budaya Melayu boleh diberikan nafas baharu tanpa perlu kedengaran terlalu berat atau ‘lama’. Malah, pemilihan bahasa dalam lagu ini juga menarik perhatian.
Selain menggunakan ungkapan berunsurkan peribahasa dan bahasa Melayu yang jarang digunakan dalam lagu pop semasa, Jung Jung Inai turut memasukkan elemen dialek Kelantan pada bahagian tertentu, menjadikan keseluruhan karya mempunyai identiti tersendiri.
Di sebalik rentaknya yang ceria, lagu ini membawa mesej mengenai budi bahasa, menjaga tutur kata, merendah diri dan berhati-hati dalam membuat keputusan.

Barisan penulis lagu terdiri daripada Amirul Azhar, Amir Firdaus dan Iman Alyssa, manakala Amirul Azhar turut bertindak sebagai penerbit muzik serta penyusun lagu. (YouTube)
Menariknya, menurut Iman, lagu berkenaan sebenarnya sudah siap dirakam sejak awal tahun 2026 dan pada asalnya mahu disimpan terlebih dahulu untuk perancangan tahun berikutnya.
Menerusi Jung Jung Inai, Iman Troye, Asslahierah serta XO House sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa ruang itu masih cukup luas untuk diterokai.
Iman juga mendedahkan Jung Jung Inai merupakan antara karya yang dirancang untuk dimuatkan dalam sebuah mini album berkonsepkan Pop Etnik.
Jika perancangan itu diteruskan, ia membuka satu sisi menarik dalam perjalanan seni Iman selepas dikenali menerusi lagu-lagu pop yang lebih dekat dengan pendengar muda, percubaan memberi fokus kepada pop etnik boleh menjadi satu evolusi yang baik buat penyanyi berkenaan.
Tambah Iman, projek album tradisioal itu bakal bermula selepas sambutan Hari Raya tahun depan.

Terdahulu pada majlis pelancaran single berkenaan, Iman secara rasmi diiktiraf sebagai Diamond Artist oleh label pengurusan XO House. Pengiktirafan tersebut diberikan susulan kejayaan luar biasa penyanyi itu menjana pendapatan komersial berjumlah RM2.5 juta sepanjang tahun 2025.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif XO House, Adib Hamdi meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anak didik pertamanya itu yang kini genap enam tahun bertapak dalam industri seni tempatan.
“Iman mempunyai tempat yang sangat istimewa kerana dia merupakan artis pertama yang kami tandatangani ketika memulakan perjalanan ini. Melihat perkembangan dia daripada awal kerjaya sehingga mencapai hasil RM2.5 juta pada tahun 2025 merupakan sesuatu yang amat membanggakan,” katanya. – GIT MEDIA
