KUALA LUMPUR: Empat karya filem pendek bakal diberikan nafas berbeza menerusi gabungan tayangan filem, persembahan teater, monolog, sketsa dan aksi lagak ngeri secara langsung menerusi acara The Quiet Ember Vol. #1, anjuran utama Z Core Entertainment.
Berlangsung selama tiga hari mulai 18 hingga 20 September 2026 di Revolution Stage Studio, acara berkenaan akan menampilkan tiga tayangan semula serta satu tayangan perdana kepada penonton.
Tidak sekadar menayangkan filem, setiap persembahan pentas akan dibentuk berdasarkan tema dan konsep karya yang dipertontonkan. Pendekatan itu memberi peluang kepada penonton menikmati pengalaman lebih menyeluruh apabila jalan cerita, konflik dan emosi daripada layar diterjemahkan secara langsung di atas pentas.
Menurut penganjur utama dan juga pengarah Z Core Entertainment Zulhazwan konsep The Quiet Ember Vol. #1 diwujudkan bagi memberikan dimensi baharu kepada pengalaman menonton filem pendek dengan menggabungkan medium layar dan persembahan langsung dalam satu acara.
“Persembahan pentas akan berkait dengan filem yang ditayangkan berdasarkan tema dan konsep setiap karya. Kami mahu penonton bukan sekadar menyaksikan cerita di layar, tetapi turut merasai elemen dan emosi karya itu menerusi persembahan secara langsung,” katanya.

Empat karya yang bakal ditayangkan ialah Paksi, Pelangi Selepas Hujan, 0112 dan Switch, dengan setiap satunya mengetengahkan genre serta konflik berbeza.
Paksi, sebuah drama thriller, mengisahkan seorang lelaki yang sedang mencari makna kehidupannya. Dalam pencarian tersebut, dia terus dihantui ingatan terhadap kata-kata keras bapanya sehingga menjejaskan perjalanan emosinya.
Drama tragedi Pelangi Selepas Hujan pula memaparkan kisah seorang ibu yang terjaga daripada tidur dan cuba mengingati perkara yang telah berlaku. Tidak lama kemudian, dia mula menyedari kemungkinan dirinya telah melakukan sesuatu yang gelap.
Filem thriller 0112 mengetengahkan kisah seorang lelaki yang berdepan masalah kemurungan. Hubungannya bersama kekasih menyebabkan keadaan fikirannya semakin bercelaru, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana dia mampu mengawal diri sebelum insan yang disayangi menjadi mangsa.
Melengkapkan senarai ialah tayangan perdana filem aksi Switch, yang mengisahkan seorang lelaki selepas mencuri sebuah pemacu pena mengandungi maklumat penting kerajaan. Kerajaan kemudian menghantar pasukan pakar untuk memburunya, namun operasi tersebut membawa kepada pembongkaran rahsia yang jauh lebih gelap.

Selain tayangan filem, segmen pentas akan menggabungkan elemen monolog, sketsa dan persembahan pendek. Penonton turut berpeluang menyaksikan aksi lagak ngeri secara langsung bagi menghidupkan elemen aksi dan ketegangan daripada karya yang dipertontonkan.
Segmen teater diarahkan oleh Aidil Rosli, dengan barisan pelakon terdiri daripada Qiu Qatina, Hazzy Alzeeq dan Ash Ramzi.

Menurut Z Core Entertainment, penganjuran The Quiet Ember Vol. #1 juga menjadi sebahagian daripada usaha menyediakan ruang kepada pembikin filem dan penggiat seni tempatan untuk mengetengahkan karya mereka menerusi pendekatan persembahan yang lebih eksperimental.
Pada masa sama, acara itu diharapkan dapat menjadi platform yang menghubungkan penggiat seni dengan penonton untuk bertukar idea, mendapatkan inspirasi serta membuka ruang kepada peluang kerjasama baharu dalam industri kreatif tempatan.
The Quiet Ember Vol. #1 berlangsung dari pukul 8 malam hingga 10 malam, dengan kapasiti terhad kepada 40 penonton bagi setiap sesi.
Harga tiket ditawarkan pada kadar RM25 untuk pelajar, RM30 bagi pembelian awal dan RM35 untuk pembelian pada hari acara. Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang Revolution Stage. – GIT MEDIA
