Dianiaya Rakan Kongsi – Rayme Zainal Tak Serik Jadi Penganjur

KUALA LUMPUR: Pernah berdepan pengalaman ditipu dan ditinggalkan rakan kongsi ketika menguruskan acara, penyanyi merangkap usahawan, Rayme Zainal mengakui insiden berkenaan cukup untuk membuatkannya lebih berhati-hati.

Namun bagi Rayme, 47, pengalaman pahit itu bukan alasan untuk mengundur diri daripada industri penganjuran acara.

Sebaliknya, pelantun lagu Andai kini memilih untuk memantau sendiri hampir setiap aspek penganjuran termasuk kewangan, pembayaran, vendor dan dokumentasi bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Pernah saya beri kepercayaan kepada rakan kongsi, tetapi akhirnya saya juga yang terpaksa berdepan masalah pembayaran, komitmen kepada pihak lain dan perjanjian.

“Bila acara selesai, ada pihak yang sepatutnya bersama-sama selesaikan masalah tetapi memilih untuk menghilangkan diri.

“Saya tidak serik menjadi penganjur. Saya cuma belajar supaya tidak terlalu mudah memberikan kepercayaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 X Festival Budaya Malaysia di Hotel Seri Pacific.

Menurut Rayme, pengalaman berkenaan menjadi titik penting untuk beliau membangunkan Raydiates Blue Sdn Bhd dengan sistem kerja yang lebih tersusun dan profesional.

Baginya, industri acara menuntut ketelusan kerana membabitkan ramai pihak termasuk vendor, kontraktor, artis dan agensi.

“Kalau ada masalah, kita duduk dan selesaikan. Jangan apabila acara sudah berakhir, tanggungjawab ditinggalkan kepada satu pihak sahaja,” katanya.

Kini Raydiates Blue bakal mengendalikan AMFF 2026 selama enam hari bermula 11 September, menghimpunkan lebih 80 vendor dengan pengisian gastronomi, seni, budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan dan program komuniti.

Rayme mula memberi tumpuan serius kepada bidang perniagaan sejak dua tahun lalu menerusi penganjuran Anjung Syawal Putrajaya, yang mencatat kehadiran lebih sejuta pengunjung dengan beberapa peniaga dilaporkan memperoleh jualan sehingga RM100,000.

Raydiates Blue turut terlibat dalam beberapa acara berskala besar termasuk Karnival Anjung E.A.T.S sempena Festival of Ideas Putrajaya 2025, Karnival BSN Mikro Madani Zon Pantai Timur serta AMFF 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penganjuran AMFF 2025 turut menyaksikan hampir 300 lot niaga serta acara Fun Run yang menarik hampir 1,000 peserta dengan kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Biarpun kini lebih aktif di belakang tabir, Rayme menegaskan dunia seni masih dekat di hatinya.

Dia dijadualkan kembali dengan single baharu berjudul Lelaki Itu Aku pada bulan depan, hasil ciptaannya sendiri dengan lirik oleh penulis Indonesia, Choky.

Lagu berkonsepkan balada pop itu selesai dirakam pada Ogos lalu dan kini dalam perancangan menghasilkan muzik video.

Rayme turut merancang lagu duet bersama juara Raise The Star Malaysia 2025, Didie Shazry, yang kini masih dalam proses pemilihan lagu.

Selain Andai, Rayme pernah muncul dengan beberapa single termasuk Closed To You, Matter Of Time serta lagu-lagu raya seperti Rindu Di Hari Raya, Selamat Hari Raya, Raya Sebenarnya dan Gema Raya. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *