Shila Amzah Rai 25 Tahun Dengan Konsert KITA – Nyanyi 40 Lagu, Empat Bahasa

PUCHONG: Penyanyi bertaraf antarabangsa, Shila Amzah, bakal meraikan ulang tahun ke-25 penglibatannya dalam industri muzik menerusi satu konsert mega istimewa yang dinamakan “KITA – 25 Tahun Bersama”. Konsert berskala besar ini dijadualkan berlangsung pada 15 Ogos 2026, jam 7.30 malam bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Dianjurkan oleh Pink Asia, konsert ini merupakan simbol penghargaan tertinggi Shila terhadap sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminatnya sejak awal pembabitan beliau dalam dunia hiburan suku abad yang lalu. Selain itu, bersempena dengan kempen Visit Malaysia 2026, acara hiburan utama ini dijangka mampu menarik kehadiran lebih 5,000 penonton, termasuk peminat dari luar negara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, China, dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Menurut Shila Amzah, konsert ini membawa makna yang sangat besar kerana setiap kejayaan yang mengecapinya sepanjang 25 tahun ini tidak mungkin terhasil tanpa sokongan para peminat.

“Saya percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama para peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama,” katanya.

Keistimewaan utama konsert kali ini adalah menyaksikan sebanyak 40 buah lagu akan dinyanyikan, di mana karya-karya dalam Bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris, dan Tamil bakal dipersembahkan dalam satu pentas.

Antara lagu ikonik yang akan dipersembahkan termasuklah Patah Seribu, Masih Aku Cinta, Memori Tercipta, dan Temberang, selain beberapa lagu Mandarin yang telah melonjakkan namanya di pentas antarabangsa. Konsert ini turut menampilkan segmen khas seperti Tribut Sudirman, Tribut Michael Jackson, dan Fish Leong Medley.

Bagi memeriahkan lagi malam bersejarah tersebut, barisan artis jemputan terkenal seperti DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimy Fly, dan Hael Husaini disahkan bakal membuat penampilan istimewa melalui kolaborasi eksklusif pelbagai genre muzik.

Peminat yang membeli tiket menerusi Ticket2U.com.my atau rwgenting.com juga berpeluang menikmati diskaun segera sebanyak 10%. Melalui Kempen Promosi Coffee Bean x KITA, pemegang tiket turut layak mendapat diskaun 20% untuk makanan dan minuman di cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia yang mengambil bahagian dalam tempoh tiga hari dari tarikh pembelian tiket.Asia Tenggara & Kepulauan Pasifik

Tiket konsert kini sudah mula dijual melalui platform Ticket2U Malaysia dan Resorts World Genting dengan harga bermula daripada RM149 sehingga RM599 (VIP). Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat tempatan dan antarabangsa.- GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *