AMFF 2026: Satukan Citarasa, Budaya & Gaya Hidup Malaysia

KUALA LUMPUR: Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali dengan skala lebih besar menerusi Festival Budaya Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa dari 11 hingga 16 September ini.

Mengangkat tema “Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa”, festival anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bukan sekadar meraikan gastronomi, malah menggabungkan seni, budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan dan aktiviti komuniti.

Pengarah Urusan Raydiates, Rayme Zainal berkata, penganjuran selama enam hari itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan serta industri pelancongan menerusi kehadiran pengunjung domestik dan antarabangsa.

Lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen perniagaan bakal mengambil bahagian, sekali gus menjadikan AMFF sebagai platform yang menghubungkan makanan, budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia.

Antara tarikan utama ialah Malam Kita Malaysia pada 15 September, yang menampilkan mini konsert khas sempena Ambang Hari Malaysia, sebelum kemeriahan diteruskan pada 16 September menerusi SimplyFit Zumba Malaysia Day bersama aktiviti kecergasan, keluarga dan komuniti.

Festival berkenaan turut mendapat sokongan beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day.

Menurut Rayme, AMFF mahu membawa konsep festival makanan ke tahap lebih luas dengan menjadikan pengalaman gastronomi sebagai sebahagian daripada identiti budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia.

AMFF pertama kali dianjurkan pada 2025 di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, selain menampilkan kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selepas Taman Tasik Titiwangsa, AMFF 2026 akan diteruskan di MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober 2026 sempena MySihat Expo 2026.

Edisi itu bakal menggabungkan gastronomi, kesihatan, kesejahteraan, sukan, kecergasan dan hiburan dengan penglibatan kira-kira 600 vendor, termasuk menerusi kerjasama bersama HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 dan FRAGMANIA. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *