January 19, 2025

Mas Idayu Tidak Perlu Buktikan Kepada Sesiapa – Relevan Dan Terus Mekar Di Hati

Bintang Dangdut Mas Idayu tidak perlu membuktikan kepada sesiapa keupayaannya sebagai penyanyi selepas sudah bertahan lebih tiga dekad sebagai anak seni.

Dia bukan saja terus relevan sebagai penyanyi malah mentor dan juri yang melahirkan bakat terkenal dalam industri tanah air.

Terbaru, Mas Idayu tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Harum Mekar Di Hati khusus untuk peminat.

Dilancarkan secara rasmi pada 6 Disember lalu disemua pelantar digital, maklum balas positif diberikan oleh sebahagian besar peminat yang sudah lama ternanti-nantikan karya terbaharu daripada penyanyi ini.

Menariknya, ini juga merupakan gandingan perdana antara Mas Idayu dan Ajai yang bertindak selaku komposer, manakala lirik pula adalah hasil idea daripada Raizo Almirez.

“Sebenarnya antara saya dan Ajai sudah lama berkawan. Kami sudah saling kenal-mengenal sejak berpuluh tahun lalu dan baru kali ini dapat bekerjasama bersama menghasilkan Harum Mekar Di Hati.

“Sudah pasti saya gembira dapat bekerjasama dengan komposer yang satu ini dan percaya lagu yang dihasilkan juga ada keistimewaan tersendiri. Itu jugalah yang menjadi sebab mengapa saya teruja merakamkan lagu ini,” kata Mas Idayu.

Tambahnya lagi, apa yang diberikan oleh Ajai sebenarnya kena dengan kehendaknya secara peribadi terutama pemilihan genre lagu yang berteraskan pop rock dan bukannya dangdut.

Mas Idayu sendiri pada dasarnya lebih meminati genre pop rock sejak memulakan karier nyanyian namun irama dangdut yang membawa namanya mekar di persada muzik tanah air.

Bagi Ajai pula, pastinya dia gembira dapat bekerjasama dengan sahabat lamanya yang juga merupakan sorang penyanyi versatil menerusi sebuah karya yang akan menyerlahkan lagi sisi lain penyanyi tersebut.

Jelasnya, tidak ada apa-apa lagi yang perlu dipersoalkan tentang teknik nyanyian dan sebagainya memandangkan Mas Idayu sudah tahu apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja menerima karya ini pada peringkat awal rakaman.

Pelancaran muzik video Harum Mekar Di Hati yang diadakan di Red Box Karaoke, The Curve merupakan lagu terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music. Peminat Mas Idayu boleh menonton muzik video lagu ini di saluran Youtube Indigital Music. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts