Be Like Water Lagu Mandarin Penuh Pertama Siti Nurhaliza – Firdhaus Akui Teruja Berduet Dengan Biduanita Negara

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi mencipta sejarah dalam industri muzik tanah air apabila tampil dengan lagu penuh berbahasa Mandarin buat pertama kali sepanjang lebih tiga dekad perjalanan seninya menerusi single berjudul “像水一樣” (Be Like Water).

Lagu istimewa itu adalah hasil kolaborasi sulung beliau bersama penyanyi dan pencipta lagu tiga bahasa yang sedang mencipta nama di persada antarabangsa, 菲道尔 (Firdhaus).

Kolaborasi bersejarah itu bukan sekadar menyatukan dua generasi pemuzik yang berbeza latar belakang, malah membawa mesej kemanusiaan yang mendalam menerusi karya yang sarat dengan nilai kasih sayang, harapan dan keprihatinan serta diangkat sebagai lagu tema rasmi untuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) CUCKOO Malaysia.

Siti Nurhaliza yang juga duta jenama berkenaan, bergandingan dengan Firdhaus yang baharu dilantik sebagai Sahabat CSR CUCKOO (CUCKOO CSR Friend) bagi menjayakan lagu berkenaan sebagai syarikat berkenaan menyokong pelaksanaan Projek CUCKOO Loves, Cares.

Ketika ditanya, Firdhaus mengakui teruja serta menjadi penghormatan terbesar dalam kerjaya seninya apabila mengetahui lagu itu bakal dirakamkan bersama Siti Nurhaliza.

Dia berkata gementar dan teruja Ketika kali pertama berjumpa serta berkongsi karyanya itu kepada penyanyi nombor satu negara

“Saya akui teruja dan gemntar, lega rasa Datuk Seri Siti suka bila saya petik gitar lagu berkenaan di rumahnya,” kongsi penyanyi yang mencipta nama hingga ke pasaran luar.

Firdhaus diberi tanggungjawab untuk menterjemahkan semangat kasih sayang dan keprihatinan yang menjadi teras projek berkenaan sebelum menemui inspirasi daripada falsafah terkenal mendiang legenda seni mempertahankan diri, Bruce Lee, iaitu “Be water, my friend”.

Mengangkat falsafah air sebagai simbol ketabahan, kelembutan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran kehidupan, lagu ini menyampaikan mesej bahawa kasih sayang dan keprihatinan tidak semestinya dizahirkan melalui tindakan yang besar atau lantang.

Bagi Siti Nurhaliza, projek ini turut menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan seninya apabila buat pertama kali merakamkan lagu penuh dalam bahasa Mandarin sepanjang lebih 30 tahun bergelar anak seni.

Menurut beliau, hasrat untuk bekerjasama dengan Firdhaus telah lama terpendam berikutan kekaguman terhadap bakat luar biasa penyanyi muda itu sebagai pencipta lagu yang diterbitkan menerusi syarikat produksinya sendiri, SN Legacy Sdn. Bhd.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu duet, “Be Like Water” turut melambangkan penyatuan dua generasi pemuzik yang saling melengkapi.
dengan keserasian vokal kedua-dua artis menghasilkan sebuah karya yang lembut tetapi penuh tenaga emosi, sekali gus memberikan pengalaman pendengaran yang menyentuh hati.

Bagi memperkayakan lagi susunan muzik, projek ini merealisasikan impian Firdhaus untuk menghasilkan gubahan orkestra berskala besar serta dirakam bersama Budapest Scoring Orchestra dan Dandelion Choir, manakala sentuhan penerbit serta pengubah lagu tersohor, Aubrey Suwito, berjaya menyuntik dimensi sinematik yang lebih megah kepada keseluruhan karya.

Single “像水一樣” (Be Like Water) bersama video muzik rasminya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, KKBOX serta pelbagai platform muzik digital lain. – GIT MEDIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *