SHAH ALAM: NUSANUTRA memperkenalkan Persada Cipta 2026, sebuah platform yang menghimpunkan institusi penyelidikan, universiti, pemain industri, usahawan dan rakan strategik bagi mempercepatkan pembangunan inovasi berasaskan khazanah biodiversiti Nusantara sehingga ke peringkat pengkomersialan dan pasaran.
Bertemakan “Memperkasa Warisan, Menerajui Inovasi”, Persada Cipta bukan sekadar sebuah majlis pelancaran, malah merupakan wadah yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan industri bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempercepatkan pemindahan teknologi serta pembangunan produk bernilai tinggi.
Platform ini turut menyaksikan pelancaran rasmi jenama NUSANUTRA, yang membawa aspirasi untuk menjadi peneraju dalam pembangunan dan pengkomersialan produk kesihatan berasaskan penyelidikan saintifik serta khazanah biodiversiti Nusantara.
Sebagai kemuncak Persada Cipta 2026, lima inovasi pemenang Anugerah Emas International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) bagi tempoh 2023 hingga 2026 diketengahkan kepada umum, iaitu Terungold, Femiluv, Vegejelly, Dybesol dan Phytoglutide.
Daripada lima inovasi tersebut, Dybesol dan Phytoglutide dilancarkan secara rasmi buat pertama kali sebagai inovasi terbaharu, sekali gus membuktikan potensi hasil penyelidikan tempatan untuk diterjemahkan kepada produk yang mempunyai nilai komersial dan memberi manfaat kepada pengguna.
Kelima-lima inovasi tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara NUSANUTRA dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kerjasama ini membuktikan bahawa sinergi antara institusi penyelidikan dan sektor industri mampu mempercepatkan pembangunan teknologi, meningkatkan nilai tambah hasil penyelidikan serta membuka lebih banyak peluang pengkomersialan inovasi tempatan.

Pengarah Urusan NUSANUTRA, Ahmad Zahin Ilman Othman berkata, Malaysia mempunyai semua elemen yang diperlukan untuk menjadi peneraju inovasi berasaskan biodiversiti, namun usaha meningkatkan mutu pengkomersialan hasil penyelidikan perlu diperkasakan secara berterusan.
“Malaysia mempunyai ramai penyelidik bertaraf dunia serta kekayaan biodiversiti yang luar biasa. Cabaran utama bukan lagi menghasilkan penyelidikan semata-mata, tetapi memastikan lebih banyak hasil penyelidikan berjaya diterjemahkan kepada produk yang memberi manfaat kepada rakyat, membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan daya saing negara. Di situlah kami mahu memainkan peranannya,” katanya.
Beliau berkata, Persada Cipta diwujudkan sebagai platform yang mempertemukan penyelidik, institusi penyelidikan dan pemain industri supaya sesuatu inovasi tidak terhenti di makmal, sebaliknya mampu berkembang menjadi produk yang memberi impak kepada masyarakat.
“Warisan memberi inspirasi. Sains memberi keyakinan. Inovasi membawa perubahan. Namun pengkomersialan memastikan manfaat penyelidikan benar-benar sampai kepada masyarakat. Persada Cipta diwujudkan bagi menghubungkan keseluruhan rantaian tersebut supaya lebih banyak inovasi tempatan berjaya menembusi pasaran.”
Dalam tempoh lima tahun akan datang, NUSANUTRA menyasarkan untuk memperluaskan kerjasama strategik bersama lebih banyak universiti dan institusi penyelidikan, memperkenalkan beberapa lagi inovasi yang kini berada dalam fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta meneroka peluang eksport ke pasaran Asia dan Eropah.

Terdahulu, majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Presiden Annems Group of Companies, Datuk Dr. Faridah Hanim Haron dan Naib Presiden Kanan, Bahagian Sokongan Industri BioEconomy Corporation, Nora Mohamed bersama penyelidik, pemain industri, rakan strategik dan wakil media.
Untuk rekod, NUSANUTRA yang sebelum ini dikenali dengan nama SuperFood, sebuah jenama yang dipercayai dalam bidang kesihatan, kecantikan dan nutraseutikal (nutraceuticals).
NUSANUTRA turut memperkenalkan laman web rasminya nusanutra.com sebagai platform digital utama bagi memudahkan orang ramai, rakan industri, penyelidik dan pemegang taruh mendapatkan maklumat berkaitan produk, inovasi, kerjasama strategik serta perkembangan terkini jenama tersebut. – GIT MEDIA
