June 13, 2024

Perjalanan Pembuktian Cinta – Kisah Kahwin Paksa Seorang Hafizah

Kisah benar seorang Hafizah Al-Quran yang dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia serta sudah beristeri menjadi cerita yang diangkat dalam filem Perjalanan Pembuktian Cinta.

Filem bertemakan Islamik dengan kisah kontroversi ini dihasilkan syarikat produksi dari Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios) dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh.

Filem berkenaan telah diadaptasi daripada sebuah novel best seller dengan tajuk yang sama karya penulis Nusaibah Azzahra yang mendapat sambutan hangat di negara berkenaan.

Menariknya, karya yang dipaparkan itu adalah kisah benar yang telah dilalui sendiri oleh penulis berkenaan apabila dia telah dipaksa berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri.

Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem tersebut untuk tayangan di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan filem Perjalanan Pembuktian Cinta ke Malaysia kerana ia menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik.

“Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna. D’Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.
 
“Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah. Gabungan elemen komedi dan drama dan juga latarbelakang nilai  keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton.
 
“D’ Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainian filem ini kerana ia  menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digabungkan dengan agung yang bakal menyentuh jiwa penonton,” ujarnya.

Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh rintangan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.

Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem tersebut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana dan ramai lagi.

Mengenai sambutan di Indonesia pula, Rosmarayu memberitahu penerimaan penonton di sana luar biasa, meskipun ditayangkan semasa bulan Ramadan.

Sementara itu, M. Amrul selaku pengarah berkata, Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang unik berbanding filem-filem genre yang sama.
 
“Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran, yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.
 
“Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton akan lebih memahami lebih dekat dengan mesej-mesej yang terkandung dalam jalan cerita filem ini bagi menempuhi kehidupan seharian,” ujarnya.

Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun 2024. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts