December 8, 2024

Hafiz Akui Rambut Hijau Untuk Terus Bersinar

PUCHONG : Penyanyi Hafiz Suip mengakui dirinya tampil dengan rambut berwarna hijau neon demi untuk single terbaharunya berjudul Terus Bersinar. 

Kata Juara Akademi Fantasia 7 itu, dia mengambil tindakan itu disebabkan mahu menarik perhatian umum dan peminat selepas lama tidak muncul.

Tambahnya, tindakan itu adalah disebabkan oleh lumrah zaman sekarang, terutama kebergantungan masyarakat dan netizen terhadap isu-isu sensasi.

 

“Dulu saya tidak seberapa sangat dengan media sosial. Saya hanya ada Instagram dan Facebook sahaja. Tapi sekarang saya dah ada TikTok. Sebabnya, saya rasa ia penting untuk kita yang bekerja dalam industri ini, untuk market diri kita.

“Tak dinafikan, sekarang ramai yang sukakan perkara sensasi. Saya boleh sahaja beritahu ‘Hafiz Suip akan lancarkan single baharu’. Orang akan tengok dan cakap, oh Hafiz Suip. Itu sahaja.

“Tapi, bila saya warnakan rambut sedemikian, ia akan buat orang triggered, ‘Hari tu bukan dah Islamik ke?, “  katanya ditemui pada majlis pelancaran single Terus Bersinar. 

Hafiz menambah, dia sedar tentang perbuatannya itu dan faham mengenai hukum hakam agama.

“Kalau ikut hukum salah sebenarnya. Tapi kita bercakap dalam dunia hiburan, melainkan kita berada dalam masjid, barulah kita bercerita pasal agama dan hukum hakam,” katanya.

Mengenai Terus Bersinar, lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito itu adalah kerjasama pertama Hafiz bersama mereka.

“Untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts