May 12, 2025

Gandingan Tiga Vokal Hebat – Datin Alyah, Ayu Dan Idayu Janji Kenangan Terindah

Buat kali pertama tiga penyanyi yang memiliki vokal hebat iaitu Datin Alyah Ayu Damit dan Idayu Yaakob  mengumumkan kolaborasi menerusi showcase eksklusif yang akan berlangsung di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya pada 21 dan 22 Jun 2025.

Showcase yang bertemakan “An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah” itu bukan sahaja menyaksikan mereka menyampaikan lagu hits secara solo malahan bersatu vokal secara harmoni untuk dua malam berturut-turut.

Pengarah Kreatif & Perhubungan Media showcase itu, Slen Fadzil berkata, idea kolaborasi tiga suara dari Johor, Kelantan dan Sabah itu tercetus daripada Alyah sendiri yang inginkan sebuah gandingan padu di kalangan sahabat baik beliau.

“Sebagaimana yang kita ketahui, Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob masing-masing dicungkil bakat mereka daripada tiga pertandingan nyanyian popular iaitu Bintang HMI, One In A Million & Akademi Fantasia Megastar. Masing-masing ternyata miliki kehebatan vokal tersendiri dan secara kebetulan, mereka menggemari genre-genre lagu yang sama khususnya balada dan pop komersial.

“Jadi memang sesuailah mereka digabungkan untuk memberikan kepuasan berganda kepada penonton kelak. Pada kedua-kedua malam itu kita akan dihiburkan dengan lagu-lagu hits mereka sendiri selain melodi evergreen hingga terkini daripada artis tempatan dan antarabangsa.

“Kami amat terharu dan berbangga kerana showcase ini mendapat kerjasama terbaik daripada Park Inn by Radisson Putrajaya. Ia menjaminkan keselesaan dari segi tontonan dan lebih menarik, penonton

akan disajikan hidangan koktel sebelum persembahan bermula. Bukan itu sahaja, peminat yang datang dari luar Lembah Klang juga boleh menginap dengan selesa di hotel ini dengan pakej-pakej berbaloi,” kata Slen Fadzil.

Showcase bertemakan “Pesona Elegan” itu dianjurkan oleh Like Music Entertainment dengan kerjasama Park Inn by Radisson Putrajaya.

Tiket showcase “An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah” berharga RM350 (termasuk Meet & Greet, Cenderahati & Hidangan Koktel) serta RM250 (termasuk Hidangan Koktel).

Tiket-tiket boleh ditempah mulai 24 April 2025 dengan menghubungi talian Whatsapp 6010-211 4687.

Sementara itu, Alyah berkata ini percubaan pertama bagi mereka dan dirinya teruja kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri.

“Anda akan saksikan kami bergandingan pada malam berkenaan di mana pastinya persembahan ada kelainan di kedua-dua malam showcase itu nanti,” katanya.

Ayu yang pernah menyertai Gegar Vaganza berkata, kesemua mereka turut menyahut cabaran membawakan pelbagai genre lagu selain lagu hit masing-masing.

“Anda bukan saja akan lihat kami bernyanyi balada dan RnB tetapi juga lagu Irama Malaysia, Dangdut dan Rock,” katanya.

Idayu yang sudah lama tidak muncul juga menyambut baik pelawaan yang diberikan dan mahu melepaskan rindu kepada peminat.

“Anda boleh DM kami untuk cadangan lagu yang bakal dinyanyikan pada malam showcase itu nanti,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts