EMPAT Live In Kuala Lumpur 2025 bakal menjadi satu sejarah mega dalam industri hiburan kerana menggabungkan penyanyi hebat yang berada dalam kelompok penghibur terbaik negara.
Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel nama yang bukan calang-calang serta pastinya menjanjikan persembahan hebat bagi setiap yang menonton.
Lebih mengujakan, empat figura kesayangan Malaysia ini mempunyai pertalian darah dan bersatu dalam momen terindah yang bakal terlakar dalam sejarah industri muzik tempatan serta Nusantara.
Konsert EMPAT Live In Kuala Lumpur 2025 adalah kolaborasi pertama adik-beradik Ziana Zain dan Anuar Zain bersama anak saudara, Ernie Zakri serta suami, Syamel.
Bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar sebuah konsert tetapi perlambangan cinta, kasih dan sayang serta silaturrahim empat bakat terhebat Malaysia.
“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan kerana tidak ada salah seorang pun daripada kami pernah terfikir bahawa pada akhirnya takdir membawa kami; saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami, Ernie dan suaminya, Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda di atas satu pentas.
“Sebenarnya konsert ini telah lama dirancang, boleh dikatakan sejak dua tiga tahun yang lalu.
Namun melihatkan jadual kerja yang padat serta komitmen kesemua penyanyi yang terlibat, pihak penganjur dan pengurusan perlu mencari masa yang tepat dan sesuai untuk melaksanakan konsert ini.
“Konsert empat Live In Kuala Lumpur 2025 ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya-karya yang pernah dan bakal dilahirkan.
“Kami dengan rendah hati berharap agar semua peminat dapat menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan ‘semangat cinta dan kasih sayang’ yang besar untuk satu sama lain,” ujar Anuar.
Bagi Ernie Zakri, dia teruja namun gementar untuk beraksi dalam konsert berskala besar bersama dua ikon legenda tanah air itu.
“Saya menangis selepas dilamar merealisasikan empat Live In Kuala Lumpur 2025 bersama ibu dan bapa saudara saya yang selama ini sangat saya kagumi dan membesar melihat bagaimana mereka berusaha keras untuk berjaya.
“Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari sejak lama lagi dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi,” ujar Ernie.
Konsert anjuran Anuar Zain Network itu akan mendapat sentuhan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert, manakala Sze Wan pula sebagai pengarah muzik.
Tiket-tiket berharga RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket) sudah boleh didapati menerusi https://www.ticket2u.com.my/empatkl mulai 25hb April 2025 jam 10.00 pagi.
Istimewa buat golongan kelainan upaya (OKU), anda boleh membuat pembelian menerusi talian khas hotline +6011-1190 0518. – GayahIsTyping
You may also like
-
Notis Tuntutan Bekas Isteri – Fattah Serah Peguam
-
Tiket Pra Jualan Habis Dalam Masa Tiga Jam – Rossa Kembali Gegarkan Axiata Arena 2025
-
Benar Aku Cinta Terjemahan Hati Ronnie Hussein – Kebetulan Jadi Lagu Dedikasi Buat Arwah Ibu
-
Pameran Sunyi Dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 Anjuran Bali Seni Negara
-
Album Made In UK – Amir Masdi Muncul Dengan AM:PM