Semakin ramai yang memeriahkan suasana Hari Raya kali ini dengan melancarkan lagu raya yang bukan saja dalam kalangan artis malah juga usahawan.
Terbaru, Amar Amran usahawan pakaian jenama Amar Amran yang mempunyai 11 cawangan butik di di Shah Alam, Bangi, Isetan Suria KLCC, SOGO KL, Kota Bharu, Mayang Mall Kuala Terengganu, Dataran Austin Terengganu, Kuantan, Pattani, Narathiwat dan Yala, Thailand.
Kini usahawan itu mahu mencuba bakat dalam bidang seni suara pula kerana bagi Amar, menerusi lagu beliau mahu menyampaikan mesej kepada pengguna dan sekali gus menghibur.
“Saya bukan menjual baju semata-mata tetapi mempromosi nilai kekeluargaan dan persaudaraan melalui pemakaian sedondon yang sinonim dengan tagline ‘Sehati Sedondon’.
“Bagi saya baju dan lagu adalah cara saya berkarya untuk memberi manfaat kepada semua kerana seni fesyen dan seni suara saling bersama,” jelasnya antara sebab kenapa beliau tampil dengan single “Raya Sehati Sedondon”.
Lagu “Raya Sehati Sedondon” adalah gandingan Amar bersama Raja Pop Malaysia, Dato’ Jamal Abdillah yang dicipta khas oleh komposer Apak Harry Khalifah.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang seni suara dan mempunyai lagu sendiri atau mengikut trend semasa. Apa yang terjadi adalah atas kehendak-NYA.
“Apabila saya cadangkan kepada Dato Jamal untuk kami berduet, dia tidak membantah sebaliknya menyokong hasrat saya kerana kami sudah lama kenal dan rakan niaga.
“Begitu juga apabila saya minta Apak buatkan lagu untuk saya yang bukan siapa-siapa ini, dia tak menolak dan terus buat lagu seperti yang saya pinta. Manakala lirik pula ditulis oleh Ajim Maze dan saya,” katanya.
Jelas Amar, lagu tersebut memang dicipta khas untuk beliau berduet dengan Jamal dan disaran oleh penyanyi tersebut supaya dijadikan lagu raya kerana melodinya yang bersesuaian dengan suasana raya.
“Pada awalnya saya khuatir juga kalau saya akan merosakkan lagu ini. Tapi Dato Jamal meyakinkan saya boleh menyanyi dan sehinggalah selesai rakaman dia mengesahkan suara saya okey. Bagi saya Dato’ Jamal seorang yang sangat profesional dan saya selesa bekerjasama dengan dia,” kongsi Amar lagi.
Sebagai pendatang baharu dalam bidang seni suara, Amar Amran tidak gentar jika ada yang mendakwa beliau menumpang populariti Dato’ Jamal Abdillah. Baginya, beliau menyanyi lebih kepada untuk berkarya dan menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat.
“Bagi saya tiada istilah menumpang populariti rakan duet kerana saya tidak pernah berniat atau berhasrat untuk menjadi popular. Sebenarnya, saya adalah seorang yang introvert kerana saya rasa kehidupan yang popular akan menjadikan saya hilang privasi. Mencari populariti bukan tujuan saya.
“Biar orang lebih mengenali lagu saya berbanding diri saya. Lagu ini lebih cepat popular kerana duet dengan Dato’ Jamal dan itu memang tidak dapat dinafikan. Aura dan populariti Dato’ Jamal semestinya memberikan impak yang besar kepada lagu “Raya Sehati Sedondon”,” akuinya.
Amar Amran berharap lagu “Raya Sehati Sedondon” diterima dan mendapat tempat di hati para pendengar di luar sana. Semoga lagu ini dapat menceriakan suasana raya, menghiburkan dan menggembirakan semua orang.
Beliau turut mengharapkan lagu yang mendapat komen positif daripada orang ramai itu menjadi satu karya seni kepada industri muzik. Selain itu, muzik video “Raya Sehati Sedondon” yang dimuat naik di saluran YouTube, Amar Amran Channel sejak 14 Februari lalu mendapat lebih 60,000 tontonan.
Sempena lagu ini juga, Amar Amran mahu berkongsi rezeki bersama penggemar lagu “Raya Sehati Sedondon” dengan menawarkan hadiah bernilai RM10,000.
Caranya mudah saja, mana-mana peserta lelaki atau wanita yang berumur 15 tahun ke atas layak untuk menyertai Pertandingan Cover Lagu “Raya Sehati Sedondon” yang bermula sejak 25 Februari lalu.
Terpulanglah anda mahu menyanyi secara solo atau berduet berdasarkan minus one lagu tersebut yang tersedia di YouTube Amar Amran Cahnnel iaitu https://bit.ly/AmarAmranChannel
Kemudian muatnaik video nyanyian anda itu di TikTok masing-masing dengan hastag #RayaSehatiSedondon dan tag kepada @amaramran.my & @amar.amran. – GayahIsTyping
You may also like
-
M.Nasir Lakar Sejarah – Tampil Konsert Khas Hari Raya
-
Terpaling Raya Jadi Tum Tum Raya – Shiha Zikir Dan Ieda Berkurung 22 Jam Demi Muzik Video
-
Beraya Dengan Biduanita Negara – Siti Nurhaliza Pamer Koleksi Busana Peribadi Sempena Budaya Raya
-
Khai AF Pengsan Tiba-Tiba – Terima Dua Jahitan Di Dahi
-
Elemen Lawak Seram Lagu Raya – ZUS Coffee Lancar Lagu Cerita Malam Raya