February 9, 2025

Fazbulous Raya 2024 Kekal Harga Mampu Milik

SEPANG : Selebriti dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin memberi jaminan koleksi Fazbulous Raya 2024 kekal menawarkan harga mampu milik kepada semua yang ingin memilikinya.

Lebih mesra disapa Faz, dia berkata seperti biasa dia berusaha membawakan koleksi dengan kualiti terbaik dan pada masa sama memastikan harga yang dijual mampu dimiliki oleh semua yang mahukannya.

“Seperti biasa kami akan berusaha memberikan harga yang mampu milik kepada semua dan kita bersama-sama dapat meraikan hari raya nanti dengan gembira.

“Saya sangat bersyukur kerana diberikan rezeki pada tahun 2024 untuk melanjutkan semula pertunjukkan fesyen Fazbulous Raya yang sentiasa dinantikan peminat jenama FAZURA. Ia juga adalah ruang dan peluang kepada saya dan suami Fattah Amin untuk terus mendekati para peminat produk FAZURA dan perjalanan kerjaya professional kami.

“Majlis hari ini adalah yang pertama diadakan selepas pandemic COVID-19,” katanya kala ditemui selepas pertunjukan fesyen khas FAZURA sempena pelancaran koleksi hari raya itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fazura berkata koleksi kali ini antara lainnya mengetengahkan tiga koleksi Tudung FAZURA iaitu Citra Zahraa dan Kesuma Warna yang berinspirasikan bunga-bungaan manakala Rona Peterana pula dengan corak abstrak dan geometri moden.

Tambahnya, kesemua 30 corak menarik ini akan datang menemui peminat Tudung FAZURA bersama barisan baju Kurung Kedah, Kurung Moden dan Kebaya serta Ready-to-Wear, sesuai untuk suri teladan yang anggun menawan.

Koleksi Fazbulous Raya 2024 boleh didapati di laman sawang rasmi fazura.com, aplikasi Fazura, ShopeeMall ‘fazuraofficialstore’ atau dari Besties dan agen FAZURA dalam bulan Mac 2024.

Sementara itu, Fazura turut berkongsi mereka sekeluarga termasuk puterinya Fatima bakal sibuk pada Ramadan kali ini.

“Alhamdulillah, saya dan Fattah masih belum sempat merancang sepenuhnya kerana kami sekeluarga termasuk Fatima sangat sibuk dengan pengambaran drama terbaharu yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan yang kian hampir.

“Tahun 2024 adalah tahun yang istimewa kerana saya dan Fattah tampil bersama dalam filem Pendekar Awang, kemudian kami juga dianugerahkan projek oleh satu stesen televisyen tempatan untuk menerbitkan drama yang buat julung kalinya dibintangi oleh kami berdua dan Fatima.

“Saya sangat terkejut melihat Fatima sangat selesa berlakon dan kehadiran Fatima di set penggambaran sangat menghiburkan semua kru kerana keletahnya yang pandai melayan dan tidak kurang disiplin sebagai pelakon baharu di usia muda,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts