MELAKA : Melangkah kaki ke tahun 2024 dengan pelbagai misi penting dari aspek peribadi mahupun kerjaya, pelawak dan usahawan Shuib mengakui teruja dalam merealisasikan misinya.
Shuib berkata antara misi utamanya ialah melebarkan empayar sedia ada ke peringkat antarabangsa termasuk mengintai peluang ke Thailand, Singapura dan Brunei.
“Saya mahu luaskan perniagaan secara serius termasuk membawa perniagaan Bubble Bee saya ke beberapa negara jiran dan perancangan itu sedang giat dilakukan.
“Pada masa sama House Of Patin yang saya usahakan juga semakin mendapat sambutan yang baik sejak sebulan dibuka,” katanya.
Dalam pada itu, biarpun tidak lagi bergelar penyampai radio, Shuib tidak melupakan bidang seni yang melonjakkan namanya dan mengambil keputusan untuk menerima tawaran bersesuaian jadual.
“Berundur diri sebagai penyampai radio dan mahu fokus bisnes bukan bermakna saya terus senyap dalam industri seni. Saya masih aktif, cuma mungkin ada tawaran yang saya boleh jayakan dan ada yang terpaksa saya tolak kerana kekangan masa dan kerja.
“Kini, setiap minggu saya ada kerja di luar daerah kerana menguruskan bisnes. Saya sedang dalam perancangan untuk melebarkan sayap lagi dalam bidang perniagaan tetapi industri seni itu memang tak akan saya lupakan. Jika kena dengan jadual, pasti akan saya jayakan,” katanya.
Difahamkan, Shuib juga sedang dalam perancangan untuk muncul dalam satu program televisyen tahun ini namun semuanya masih dalam peringkat perbincangan.
Bercerita mengenai Restoran House of Patin Melaka, restoran yang sudah dibuka selama sebulan ini menerima respons yang baik pengunjung.
“Restoran ini saya usahakan bersama dua orang rakan kongsi. Ia terletak di Kampung Hulu, Melaka. Di tempat yang sama sebelum ini, kami mengusahakan restoran lain namun ia telah menjalani proses penjenamaan semula dan lahirlah Restoran House of Patin Melaka.
“Setakat ini, sambutan yang kami terima amat baik. Kami menyediakan pelbagai hidangan lazat yang mesra dengan semua golongan, tak kira orang biasa atau mereka yang mahukan sesuatu yang agak mahal.
“Seperti semua orang tahu, ikan mempunyai banyak jenis, ada yang murah, ada yang mahal dan kami menyediakan hidangan yang mesra poket dan lazat juga hidangan premium,” katanya lagi.
Majlis perasmian Restoran House of Patin Melaka disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – GayahIsTyping
You may also like
-
Angkara Gigitan Ziana Zain – Pontianak 200 kg Mangsa Cinta Tiga Segi
-
FYP Untuk Siapa Yang Makan Cili – Drama Band Tampil Konsert Sulung
-
Tidak Fake – Siti Jamumall Jadi Diri Sendiri
-
Suria FM Terus Jadi Pilihan – Jelajah Suria Kuasa 2 Tawan Empat Lokasi
-
Dedah Kisah Untold Story – Wajib Tonton Teater Dang Anum Versi The Redholah