July 15, 2024

Shiha Zikir Syukur, Sebak Berjaya Bawa Kalam Ke AJL38

SHAH ALAM : Rasa syukur kepada Tuhan dan penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong mengatasi segala cakap-cakap sinis mengenai kejayaannya dalam perjuangan Semi Final Muzik-Muzik 38 (SFMM38) yang lalu. 

Mempertaruhkan dua buah lagu pada peringkat Semifinal Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM38) yang berlangsung baru-baru ini, Shiha Zikir sebak apabila karya etnik nyanyiannya, Kalam diumum mara ke pentas keramat Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38)

Ditemui pada acara kemuncak pengumuman 12 karya yang mara ke AJL38 baru-baru ini, Shiha meluahkan rasa syukurnya tatkala mendengar lagu Kalam nukilannya sendiri bersama komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves berjaya lolos.

 

“Sebenarnya dari peringkat separuh akhir lagi Shiha berasa sebak dan terharu kerana ramai peminat sedar kewujudan lagu Kalam dan mengundinya hingga ke tahap ini.

“Sekarang ni bila layak ke AJL, rasa gembira dan bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat Shiha kerana ia sebuah lagu tradisional fusion.

“Shiha memang nak sangat lagu-lagu berentak tradisional macam ni layak ke peringkat tertinggi seperti AJL,” ulasnya.

Ditanya tentang cemuhan segelintir warganet yang melabelkan Kalam sebagai sebuah lagu sendu, Shiha bagaimanapun tenang memberikan responsnya.

Katanya, dari dulu sampai sekarang, prinsipnya sama sahaja iaitu mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Jika benar sambutannya sendu, tak mungkin lagu ini akan dipilih sebagai 30 buah karya di peringkat separuh akhir kerana untuk berada di SFMM, ia perlukan undian yang cukup daripada peminat,” jelasnya.

Terdahulu, terdapat beberapa pihak mempertikaikan kemasukan Shiha ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak AJL35.

“Kali pertama sewaktu AJL35, saya masuk sebab menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat.

“Pada edisi AJL36 barulah buat julung kalinya saya lepas ke pentas akhir dengan lagu nyanyian sendiri iaitu AEWO bersama Noki.

“Tahun lepas adalah yang kedua kalinya menerusi lagu Irama. Itupun saya cuma menang kategori Persembahan Terbaik, bukannya menang keseluruhan,” ulasnya memberi pencerahan.

Menurutnya lagi, setiap kali menghasilkan karya baharu, dia memang meletakkan AJL sebagai penanda aras dalam memastikan kesemua lagu-lagu yang dihasilkan berkualiti selain memenuhi cita rasa pendengar. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts