December 8, 2024

Shuib Anggap Isu KWSP Pekerja Bubble Bee Selesai, Intai Sabah Dan Sarawak

MASJID TANAH : Tauke Bubble Bee, Shuib memberitahu isu berhubung tunggakan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syarikat miliknya itu terhadap pekerja selesai.

Dia berkata pihaknya sudah berjumpa dengan semua pekerja kedai minuman berasaskan madu itu dan berjanji masalah berkenaan akan diatasi.

“Syukur Alhamdulillah semua selesai dan saya terharu kerana mendapat sokongan pekerja terutamanya mereka yang sudah empat tahun bersama kami sejak ditubuhkan.

“Pada masa sama saya juga bersedia untuk berjumpa dengan pihak yang menulis surat layang untuk tanya sendiri kenapa dia begitu marah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Shuib berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian pembukaan kedai Bubble Bee di Masjid Tanah, Melaka di sini.

Bercerita lanjut, pelawak yang juga penyampai radio Suria FM itu berkata kes berkenaan memberikan banyak pengajaran buatnya dan berjanji tidak akan berulang lagi.

Terdapat 45 cawangan Bubble Bee yang beroperasi di seluruh semenanjung Malaysia dengan kira-kira 300 orang pekerja.

Terbaharu, Bubble Bee turut muncul dengan wajah baru termasuk warna hijau kuning pada tulisan jenama itu.

Ia sebahagian dari usaha syarikat minuman berkenaan memberikan pembaharuan bermula sejak awal tahun ini, selepas empat tahun beroperasi.

“Selain tambahan warna hijau pada tulisan Bubble Bee iaitu membawa maksud natural atau semula jadi, kita juga akan memberikan wajah baharu dalam setiap cawangan yang dibuka.

“Cawangan baharu akan tampil dengan look seperti di Masjid Tanah ini dan cawangan lain akan diubahsuai secara berperingkat,” katanya.

Shuib menambah, syarikat itu juga sedang meninjau beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak untuk membuka cawangan baharu pada tahun depan.

Bersama isteri, Watie yang turut hadir pada majlis pelancaran itu baru-baru ini.

Isu membabitkan potongan EPF pekerja Bubble Bee tular di media sosial baru-baru ini selepas satu surat layang dikongsi dan mendakwa pekerja syarikat itu teraniaya.

Shuib kemudiannya tampil dan mengakui hal berkenaan serta mengambil langkah drastik bagi mengatasinya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts