January 17, 2025

Faizal Tahir Kutip Lebih RM40,000 Untuk Palestine, Lelong Dua Gitar Kesayangan

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir berjaya mengumpulkan RM43,806.21 menerusi persembahan khasnya Faith4Palestine yang berlangsung Sabtu lalu di Royale Chulan Damansara. 

Kutipan itu adalah hasil derma, jualan tiket, jualan barangan peribadi berserta lelongan trofi, kasut, jaket dan dua buah gitar miliknya.

Faizal berkata dia bersyukur acara amal, Faith4Palestine yang dianjurkan menerusi gerakan kemanusiaannya, iamFaithmen dan syarikat rakamannya, Faithful Music itu mendapat sokongan yang sangat memberangsangkan.

“Ia satu jumlah wang hebat yang kita dapat kumpul dalam masa sehari. Terima kasih kepada semua yang sudi menderma.

“Jadi untuk dapat RM43806.21 dalam sehari ini adalah satu kejayaan yang sangat baik. Saya juga banyak berterima kasih kepada tiga stesen radio kerana sudi bantu untuk promosi. Alhamdulillah, nak keluar single pun tak senang sebegitu. 

“Pada saya ini memang bidan terjun, saya memang langgar saja sebab acara seperti ini tak boleh tunggu lama, lagipun saya fikir apa lagi yang saya boleh buat, kalau di media sosial ramai yang boleh buat, saya pula boleh menyanyi dan berkongsi jadi bila sudah dapat peluang sebegini, saya kena buat juga,” katanya.

Faizal yang ditemui selepas selesai acara amal itu juga mengakui tidak terkilan untuk melepaskan barangan peribadi termasuk gitar pemberian isterinya.

“Saya tak berat pun nak melepaskan, kalau boleh nak lelong lagi banyak tapi masa tak ada tapi dapat kutip sebanyak itu menerusi lelongan lima barangan yang dekat pada hati dan kerjaya, memang saya terharu. 

“Tapi jujurnya trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi kemenangan Assalamualaikum agak berat nak melepaskan kerana ia adalah kali terakhir saya masuk AJL. 

“Malah gitar juga ada nilai sentimental, kerana ia dihadiahkan isteri saya dan saya gunakan di pentas AJL untuk persembahan Sampai Syurga. Tapi bila bagi benda yang kita sayang ini ia melatih kita untuk melembutkan hati kita,” katanya.

Melalui Faith4Palestine yang dianjurkan di Hotel Royale Chulan Damansara itu Faizal juga membuat persembahan akustik dan turut tampil berduet menyanyikan lagu We Will Not Go Down bersama Syamel.

Kutipan itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts