October 4, 2024

Dari YouTube ke Layar Perak : Syif Malam Kisah Seram Pengalaman Tiga Rakan

KUALA LUMPUR : Kisah seram tiga rakan sepejabat yang bertugas pada waktu malam bakal menemui penonton di panggung wayang awal Disember ini.

Lebih menarik filem dengan judul Syif Malam ini asalnya dihasilkan untuk tontonan YouTube beberapa tahun lalu.

Melihat kepada sambutan dan kisah menarik yang dipaparkan, mendorong
Empire Film Solution Sdn Bhd dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd membawa kisah ini menjadi layar lebih besar.

Penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, idea menerbitkan Syif Malam timbul setelah menonton satu drama pendek yang tular di saluran YouTube Awanimbus beberapa tahun lalu.

“Menerusi drama pendek berdurasi 14 minit itu, saya lihat konsep dan jalan ceritanya cukup menarik dan menyeramkan, malah ia sudah ditonton sebanyak 1.6 juta penonton pada waktu
itu.

“Kemudian, timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi sebuah filem, tambahan pula genre seram cukup digemari penonton,” ujarnya.

Diarahkan oleh Fairus Anuar, Syif Malam menampilkan barisan pelakon seperti Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina.

Zubir berkata, dia yakin filem yang berkisar tentang warga kerja syif malam diganggu perkara mistik ini mampu menarik perhatian peminat filem bergenre seram.

“Tidak dinafikan pasti ada segelintir daripada kita yang pernah berhadapan dengan pengalaman seram ketika bekerja waktu malam.

“Mungkin juga apa yang dipaparkan dalam filem ini sama seperti yang pernah dilalui oleh mereka yang mengalami situasi tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, pengarahnya Fairus Anuar memberitahu Syif Malam adalah adaptasi daripada drama pendek yang pernah dihasilkan olehnya bersama rakan-rakan dan mendapat maklum balas positif dari penonton.

Jelasnya yang pertama kali mengarah filem, apa yang menarik tentang naskhah ini apabila ia menggabungkan elemen ‘fiksyen seram’ (horror fiction) dan ‘komedi gelap’ (dark comedy) yang sudah lama tidak disajikan dalam karya tempatan.

“Filem seram ini disampaikan dalam bentuk komedi gelap. Saya juga memasukkan elemen realisme bagi menghidupkan jalan cerita di mana ianya memaparkan situasi pekerja yang
terpaksa melayan kerenah birokrasi di pejabat ditambah lagi gangguan mistik pada waktu malam.

“Mengekalkan konsep dan naratif yang sama dengan drama pendek terdahulu, cuma lokasi dan cerita berbeza. Saya juga mengekalkan seorang pelakon dari drama pendek tersebut cuma wataknya berbeza.” ujarnya.

Syif Malam akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Disember 2023. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts