SHAH ALAM : Bukan mudah menyusun kata-kata bagi menggambarkan keindahan perjalanan Konsert Anuar Zain 40th Anniversary (AZ40) yang berlangsung baru-baru ini.
Terlalu banyak kisah menarik untuk dikongsi bagi menggambarkan betapa menariknya episod dan edisi konsert kali ini.
Senyuman masih terukir mengimbau momen manis menjadi seorang daripada 8,000 penonton yang mengisi perut Stadium Malawati di sini.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 53, berjaya membuai penonton dengan 20 buah lagu dalam durasi hampir tiga jam menelusuri perjalanan seni empat dekadnya.
Itulah Anuar dengan semangat The Show Must Go On meski diri diuji dengan kesihatan kurang memuaskan sejak seminggu sebelum tarikh konsert 28 Oktober lalu.
“Sakit ini bukan saya cari. Saya tidak cari hilang suara, batuk dan demam… Kalau hendak jadi, maka, jadilah.
“Tetapi saya bersyukur semua ini berlaku seminggu sebelum konsert. Saya hilang vokal secara total sehingga tidak mampu buat latihan, hanya berlatih dengan mendengar rakaman lagu sahaja.
“Bagaimanapun, konsert tetap diteruskan. Saya cakap kepada diri sendiri, tidak mengapa. Saya beritahu kepada semua audiens keadaan sebenar supaya mereka faham,” katanya yang mengaku kecewa kerana apa yang ditampilkan tidak mencapai standard dimahukan.
Penyanyi lagu Lelaki Ini itu juga bertuah kerana pemujanya yang hadir memberikan sokongan dan momentum tanpa jemu untuk dirinya meneruskan persembahan.
Berkali-kali dia menyedut alat pelega pernafasan atau ‘nebulizer’ bagi memudahkannya bernafas kala beraksi di pentas.
Ada resah pada wajahnya, namun kasih sayang peminat membuatkan Anuar terus gagah mengalunkan lagu-lagu bagi memenuhi misi Konsert AZ40.
Antara lagu popular dipersembahkan adalah Bila Resah, Sedetik Lebih, Ketulusan Cinta, Ajari Aku, Perpisahan, Mungkin dan banyak lagi.
Dalam pada itu, adik kepada diva Ziana Zain ini mendedahkan pernah timbul kebimbangan dan persoalan di hati apakah dia masih relevan dan wajar untuk meneruskan kerjayanya.
“Apa yang membuatkan saya terus berada di sini adalah kasih sayang dan ingatan peminat.
“Setiap kali rasa ‘down’, saya akan lihat kembali video persembahan dan mesej langsung berbentuk sokongan daripada peminat yang dihantar ke akaun media sosial saya.
“Pada 2007, saya pernah lalui fasa yang sangat ‘down’ di mana berlarutan tiga tahun. Saya bertanya pada diri adakah saya masih relevan dan patutkah saya teruskan karier?
“Perkara ini melarat sehingga saya layan perasaan itu selama tiga tahun. Tetapi, sekarang, saya lebih matang dan mampu tepis gangguan itu,” katanya ditemui sebaik konsert berakhir.
Usai konsert itu juga, Anuar dengan jelas membuktikan dia sentiasa diterima dan bertakhta dalam hati peminatnya meski ramai bakat baharu lahir.
Konsert AZ40 juga alibi terbaik, seorang Anuar Zain utuh dan relevan memegang gelaran penghibur kesayangan ramai.
Konsert AZ40 dipimpin pengarah muzik Lee Sze Wan bersama 25 pemuzik pengiring dan diarahkan oleh Jennifer Thompson. – GayahIsTyping
You may also like
-
Ibu Scha Al-Yahya Meninggal Dunia – Awal Kongsi Kehilangan Ibu Mentua di IG Story
-
Festival of Drums and Percussion Malaysia 2024 – Pentas Pemuzik Terbaik Negara
-
Wawa Belanja 100,000 Unit Sunscreen Kanak-Kanak – Lancar Sempena Hari Lahir Anak
-
Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran
-
Jangan Pandang Belakang 2 – Jin Tak Perlu Jaga Manusia