January 19, 2025

Harimau Malaya : The Untold Journey Papar Kisah ‘Fresh From Oven’ Dengan Kos RM5 juta

PETALING JAYA : Mengangkat perspektif yang belum pernah dikupas dalam mana-mana penghasilan karya membabitkan Harimau Malaya, 4ward Pictures Sdn Bhd dengan bangga mempersembahkan filem terbitan mereka, Harimau Malaya : The Untold Journey.

Filem yang dibawakan oleh Nashrul Nasir selaku Penerbit Eksekutif dan Alif Nabil sebagai Penerbit ini menerima sentuhan magis sutradara terkenal, Dato’ Afdlin Shauki yang juga merupakan penulis skrip Harimau Malaya : The Untold Journey.

Harimau Malaya : The Untold Journey diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.

Wakil 4ward Pictures Nashrul Nasir berkata, filem itu berkembang bukan sekadar tentang pemain bola sepak tetapi mengambil naratif berbeza terutama mengangkat kisah tiga orang peminat tegar yang digelar Ultras yang disenaraihitam menghadiri perlawanan bola sepak selama setahun.

“Filem ini juga menampilkan ‘sepak terajang atau ‘perjalanan panjang’ tentang individu-individu di belakang tabir, di sekeliling yang banyak membantu skuad kebangsaan tetapi tidak pernah ‘didendangkan

“Harimau Malaya : The Untold Journey juga adalah sebuah apresiasi terhadap perjuangan skuad kebangsaan terutama selepas berjaya menewaskan Bangladesh sekaligus layak ke Piala Asia selepas 42 tahun,” katanya.

Bagi Afdlin Shauki yang kali terakhir duduk di kerusi sutradara dua tahun lalu, kesempatan mengarahkan filem itu adalah platform yang digunakannya untuk mewujudkan kecintaan yang lebih besar bukan hanya terhadap sukan tetapi semangat setiakawan, pengorbanan dan patriotisme yang sepatutnya ada dalam diri setiap rakyat Malaysia.

“Selaku rakyat Malaysia saya tidak seharusnya menolak peluang menggarap dan mengarah Harimau Malaya : The Untold Journey.

“Ini bukan sahaja kerana mahu ada satu masterpiece dalam karier pengarahan saya tetapi ia menjadi penghormatan saya kepada negara tercinta.

“Menerusi Harimau Malaya : The Untold Journey, anda akan mengerti definisi ‘Kejayaan Memerlukan Keberanian Dan Pengorbanan,” katanya. 

Harimau Malaya: The Untold Journey dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Meerqeen, Fazura, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts