PETALING JAYA : Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor enggan muncul dalam filem dokumentari Man On The Run (MOTR).
Hal itu dikongsikan pengarah filem berkenaan, Cassius Michael Kim ketika ditanya dalam sesi sidang media sempena tayangan perdana MOTR baru-baru ini.
“Kami ada mengundangnya, namun dia enggan. Begitu juga dengan beberapa nama lain termasuk selebriti Hollywood yang dikaitkan dengan watak utama dalam naskhah ini,” katanya.
Filem itu dihasilkan bagi mengupas isu skandal membabitkan dana bernilai ringgit 1MDB yang dikaitkan dengan Najib serta individu dikenali sebagai Jho Low.
Mengulas lanjut, Cassius berkata, dia tertarik untuk menghasil filem dokumentari ini kerana liputan yang cukup meluas terhadap kisah 1MDB ini.
“Walapun ia mendapat liputan yang meluas, namun masih ramai lagi yang tidak tahu tentang perjalanan sebenar mengenai skandal ini dengan lebih mendalam.
“Jadi, filem ini akan memberi penerangan terhadap apa yang berlaku, terutama sekali untuk mereka yang mengikuti perkembangan kes ini,” katanya.

MOTR mendedahkan kisah benar yang mengejutkan tentang rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan seluruh negara.
Ia turut membabitkan Jho Low, seoranga hli perniagaan misteri serta playboy dengan merancang mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia menerusi apa yang diketahui umum sebagai 1MDB.
Menurut Cassius, antara yang menarik dalam MOTR ini apabila pihaknya dapat membuat temu bual dengan individu serta pihak yang mempunyai hubung kait dengan kisah 1MDB ini.
Cassius yang juga penerbit eksekutif berharap agar MOTR dapat memberi penerangan kepada orang ramai terhadap keburukan yang berlaku kesan terhadap skandal berkenaan.
“Mengenai Jho Low pula, saya juga mengharapkan agar dia akan dibawa ke muka pengadilan suatu hari nanti. Cuma mungkin ia agak sukar dan khabarnya dia kini sedang berada di Macau atau China,” katanya.
Secara keseluruhannya, filem ini pasti mengundang rasa pelbagai terutamanya apabila melihat bagaimana duit yang diseleweng digunakan sesuka hati dan menghabiskan berjuta ringgit dalam masa beberapa jam hanya untuk berfoya-foya.
Ada juga sisi melucukan, apabila beberapa penafian dilakukan meskipun bukti jelas menunjukkan sebaliknya.
Filem dokumentari MOTR sudah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 19 Oktober. – GayahIsTyping