PUTRAJAYA: Penganjur persembahan, Qew Communications Sdn. Bhd., menyerahkan wang hasil daripada jualan tiket konsert berjumlah RM10,000 kepada Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan Malaysia (PKNEM) dalam satu majlis baru-baru ini.
Pengarah Perkhidmatan Korporatnya, Datin Nor Rahizahwati Yahya berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu PKNEM dalam menjalankan kerja-kerja amal, kebajikan dan pembangunan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar.
“Qew Communication memilih untuk membantu PKNEM kerana ia satu badan organisasi yang tidak berasaskan keuntungan, bebas politik serta merupakan pertubuhan kebajikan sepenuhnya.
“Kami sangat menghargai usaha PKNEM dalam memberi khidmat bantuan dan pembangunan di seluruh Malaysia,” katanya kepada media dalam majlis yang diadakan di Indus Cafe, Putrajaya.
Sementara itu, Datuk Khadijah Ibrahim selaku penaung PKNEM amat berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan oleh QEW Communication.
“Alhamdulillah dan terima kasih kepada QEW yang menyumbang. Pertubuhan kami masih baharu dan ramai yang tak tahu lagi.
“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menderma kepada NIQ Ehsan supaya kami dapat agihkan kepada mereka yang memerlukan. Kita tak minta banyak, orang sedekah sebanyak mana yang mereka mampu,” katanya.
Pada mereka yang ingin membantu PKNEM untuk membantu lebih ramai lagi mereka yang memerlukan, sumbangan boleh dibuat kepada Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan Malaysia menerusi akaun RHB 21424000044942. – GayahIsTyping