January 28, 2023

Amir Masdi ‘Sengaja’ Tawan Kapal Mewah

PELABUHAN KLANG: Penyanyi berbakat besar Amir Masdi membuktikan dia memiliki kualiti bertaraf antarabangsa apabila menarik perhatian pengunjung di atas kapal mewah Genting Dream Cruise.

Amir yang membuat persembahan tanpa dirancang di atas kapal persiaran itu membuatkan ribuan penumpang dari pelbagai negara yang bercuti dan berada dalam perut kapal terpegun dan tidak berganjak menonton persembahannya.

Persembahan itu dilakukan ketika kapal berkenaan sedang belayar dari perairan Singapura pulang ke Pelabuhan Klang.

Penyanyi itu tanpa lokek membelanja persembahan tanpa bayaran itu sebagai meraikan kelahiran single terbaharunya berjudul Sengaja.

“Saya fikir lebih baik lakukan sesuatu yang bermakna selepas berjaya melancarkan single baharu Sengaja mengapa tidak saya cuba pengalaman baharu persembahan di atas kapal ketika belayar,” katanya.

Amir melakukan persembahan itu ketika menyertai stesen Suria FM yang berjaya mencatat The Malaysia Book of Records bersiaran langsung dari atas atas kapal persiaran mewah berkenaan.

Difahamkan Amir turut mendapat tawaran persembahan sebaik selesai menyampaikan kira-kira lapan lagu pada malam berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai single Sengaja ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik, Amir mengakui teruja dapat bekerjasama dengan mereka.

“Saya bertuah kerana dapat bersama mereka dan paling bermakna lagu ini juga dihasilkan dengan perbincangan antara kami. 

“Mereka kenal dan fahami saya serta karakter nyanyian dalam karya Sengaja ini,” katanya.

Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, dia terus jatuh cinta dengan lagu Sengaja apabila kali pertama mendengar demo karya tersebut.

“Pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya rasakan Sengaja sebuah lagu yang sangat bagus. Lagu ini mengisahkan seorang individu yang memendam perasaan di mana dia meluahkan dalam lagu ini bahawa dia selalu dipersalahkan.

“Apa sahaja yang dibuat pasti dia akan dipersalahkan. Jadi, dia meluahkan perasaan geram dalam lagu ini,” katanya.

Lima peminat setia Amir turut menyertai pelayaran dengan kos mereka sendiri sebagai tanda sokongan kepada penyanyi kesayangan mereka itu. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts