January 19, 2025

Aishah, Alyah Pilih Bariatrik Untuk Sihat, Sokong Kempen Lose To Win 

KUALA LUMPUR : Ramai pastinya sudah tahu kedua-dua figura ini telahpun menjalani pembedahan bariatrik dengan alasan tersendiri. 

Baik Datuk Aishah mahu pun Datin Alyah, mereka tidak pernah menyembunyikan hal itu dan senada keputusan itu dibuat demi untuk kesihatan masing-masing.

Aishah berkata, dia membuat keputusan untuk melakukan pembedahan itu kerana berat badannya berlebihan dan melebihi tahap obesiti.

“Saya daripada keluarga yang ada sejarah penyakit bahaya jadi saya perlu lakukan sesuatu untuk terus sihat dan selepas berbincang dengan doktor kaedah bariatrik ialah yang terbaik. 

“Saya juga boleh menyanyi dengan baik dan pernafasan juga lebih selesa,” katanya yang hilang lebih 50 kilogram (kg).

Alyah juga senada, memilih kaedah itu selepas beberapa usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah gastrik tidak berjaya.

“Saya lakukan pembedahan ini untuk kesihatan saya dan Alhamdulillah masalah gastrik serius yang saya hadapi selesai,” katanya yang mendapat berat sama ketika zaman anak dara iaitu sekitar 47 kg.

Penyanyi lagu Janji Manismu dan Kisah Hati itu berkongsi perjalanan mereka menjalani program pengurusan berat badan bawah pemantauan pakar dalam bidang saluran gastro usus atas (upper gastrointestinal) dan bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher dari Pusat Perubatan Gastro Usus dan Hati (CENGILD).

Kedua-dua mereka ditemui pada pelancaran kempen Lose to Win anjuran Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (Su.Re Sihat KL) bagi memerangi obesiti di Malaysia.

Presiden Su.Re Sihat KL, Shameem Akhtar Mohd Ashraf, obesiti kini bukan lagi dilabel sebagai penyakit negara dan isi rumah berpendapatan tinggi malah turut membelenggu masyarakat B40 serta golongan asnaf.

“Kami akan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi kempen ini untuk mengumpul dana supaya 20 individu berpendapatan rendah yang terpilih dapat menjalani program pengurusan obesiti yang menyeluruh termasuk prosedur kesihatan, pelan nutrisi, senaman dan lain-lain,” katanya.

Dia juga berharap apabila kempen ini dapat diteruskan dengan penyertaan rakan kongsi korporat, lebih ramai individu menghidapi obesiti dapat menikmati program pengurusan obesiti ini secara percuma.

 

Program prosdur kesihatan tersebut termasukan pembedahan bariatrikbyang akan dilaksanakan Dr Mustafa.

Pemilihan calon-calon untuk Kempen ‘Lose to Win’ Su.Re Sihat KL ini akan disaring daripada pencalonan yang dihantar oleh komuniti tempatan dalam kawasan Lembah Klang.

Pesakit obes dengan Index Jisim Tubuh 35 ke atas akan diberikan keutamaan selepas lulus ujian klinikal untuk memastikan mereka sesuai untuk menjalani pembedahan bariatrik. Pesakit diabetes jenis 2, darah tinggi dan gangguan tidur (sleep apnea) juga boleh menjalani prosedur itu. – GayahIsTyping 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts