April 18, 2024

Sophia Hanya Ingin Berkarya

PETALING JAYA: Bagi bakat baharu, Sophia Zuhri keputusan melangkahkan kaki ke dunia seni dengan niat mahu berkongsi karya serta minat yang sudah sebati dengannya sejak zaman kanak-kanaknya.

Berusia 18 tahun, malam tadi bertempat di Royal Chulan Damansara, Sophia memberanikan diri membuat persembahan sulungnya di hadapan kira-kira 200 tetamu dengan menyampaikan lima buah lagu secara langsung dengan iringan pemuzik.

“Saya gembira semua yang dirancang menjadi pada malam ini. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan menonton.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan serta teman media yang sudi hadir,” tutur gadis ini lembut.

Mengakui gugup, Sophia berjaya melunaskan nyanyiannya dengan baik dan menyampaikan karyanya kepada penonton yang hadir dalam suasana sangat santai dan penuh ekslusif.

Sophia berkata, dia sudah bersedia berdepan dengan peminat dan kritikan, gadis yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa di London ini berkata, dia hanya mahu berkongsi karya dan minat muziknya.

“Saya tahu bukan semua akan suka. Saya terima dan bersedia dengan semuanya. Saya hanya ingin berkaraya dan berkongsi bakat saya,” katanya.

Pernah muncul dengan single berjudul ‘Game of Charades’ pada 2021, Sophia akan muncul dengan album sulungnya pada September ini menampilkan 10 buah lagu antaranya berjudul “Mediocre Love”, “Against Me”, Mimp-mimpi Ini” dan “Perfect for You” yang merupakan hasil karyanya sendiri.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, anak bongsu ini berkata pertemuannya dengan komposer dan penyanyi Ajai banyak menjadi penanda aras penting dalam kariernya sebagai seorang artis.

“Saya beruntung kerana mendapat bimbingan Ajai yang banyak membantu saya dan memberikan keyakinan dalam meneruskan minat ini. Ajai juga meyakinkan saya mampu menyanyi dalam Bahasa Melayu.

“Bukan mudah bagi saya untuk mendendangkan lagu dalam Bahasa Malaysia, pengalaman ini agak mencabar, namun saya berharap agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat,” kata Sophia.

Ajai ketika ditanya mengenai potensi Sophia berkata, gadis itu mempunyai kelainan dari segi muzik yang dibawa serta kemampuannya sebagai komposer.

“Saya melihat dia ada potensi yang sangat baik dan usianya masih muda. Saya percaya dengan didikan yang betul Sophia boleh menjadi pelapis yang baik,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts