ManifestaSITI2020 terjual lebih 3,000 unit
KUALA LUMPUR : Sejak lahirnya ManifestaSITI2020, pelbagai maklum balas dapat dilihat. Ramai yang suka, ada juga suara yang lain bunyinya.
Bukan saja Datuk Seri Siti Nurhaliza, sesiapa juga malah bintang tersohor dunia berdepan isu sama. Akan ada pahat berbunyi, itu adat selagi bernama manusia.
Melihat kepada naskhah terbaharu TokTi, satu yang terlintas di ruang fikir Gayah, betapa ampuhnya Biduanita nan satu ini.
Masakan tidak, di kala album fizikal bukan lagi menjadi pilihan zaman ini, album ManifestaSITI2020 mudah dijual lebih 3,000 unit.
Bukti kukuh, yang bernama Siti Nurhaliza itu terus relevan dan kekal menjadi kesuma hati ramai peminat industri muzik tempatan.
Tidak hairan bagi mereka yang dalam kalangan Siti Zone, malah yang biasa-biasa juga melabur Ringgit Malaysia untuk album ini.
Bagi Gayah, segala isu yang dibangkitkan mengenai karya ini lambang ambil peduli orang terhadap TokTi.
Tidak dinafikan, ada nada iri pada sesetengahnya, namun sisi positifnya jelas mereka prihatin dengan karya keluaran seorang bintang yang sudah berada pada kelas tersendiri.
Pilihan kulit album yang turut diperkatakan, bagi Gayah itu hak untuk team produksi dan tuan punya badan. Mereka ada alasan sendiri.
Muzik itu sifatnya universal, jadi apa yang dipaparkan biarlah mampu mencakupi pemikiran semua penggemar TokTi. Tidak terlalu ekperimental dan bersahaja.
.
Paling penting dekat dan mampu jual. Jangan terlalu berseni (dibaca dengan hati terbuka bukan bermaksud tidak penting) tapi yang lebih utama realistik.
Kalau cantik bak karya agung Michaelangelo pun tapi tidak ada daya upaya menjual, sayang juga.
Secara peribadi, Gayah tidak ada masalah kerana Gayah melihat sisi segar TokTi, tidak lagi dengan busana potongan moden ropol-ropol atau labuci riben serta manik terjuntai.
Bak usahawan? Ya itulah Siti Nurhaliza transisi seorang penyanyi yang berinovasi. Nyanyian adalah perniagaan bagi figura yang sangat positif ini.
Gayah lebih berminat untuk meraikan semangat juang tinggi TokTi yang terus berkarya dan menerbitkan album.
Kita mahu industri kental meski banyak liku yang terhampar.
ManifestaSITI2020 lahir selepas penantian tiga tahun.
Menurut Siti Nurhaliza, album ini boleh dianggap sebagai satu terjemahan emosi dan juga suara hatinya yang ingin disampaikan kepada semua peminat, selain ingin mencatat kenangan peribadi pada tahun yang bukan sahaja unik dari segi angkanya tetapi juga bakal diabadikan dalam lipatan sejarah dunia.
“ManifestaSITI2020 ini adalah buah tangan saya pada tahun 2020 dan tentunya saya mahu mengabadikan sesuatu yang istimewa sempena kedatangan tahun yang mempunyai sejarah tersendiri kepada dunia ini.
“Saya hanya mahukan pencinta muzik, peminat dan penggemar lagu-lagu saya, bersama-sama di dalam manifestasi yang saya lakukan ini. Bagi saya, berkarya sudah menjadi tanggungjawab dan saya tidak mahu hanya menyanyi semata-mata tetapi biarlah karya saya itu mampu memberi manfaat dan juga membuka mata orang,” katanya.
Sebagai penyanyi, Siti mengakui cukup bertuah kerana sepanjang dua dekad mengabadikan diri dalam dunia seni, beliau sudah bekerjasama dengan ramai komposer, lama dan juga baharu yang masing-masing dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Muzik ada anjakan tersendiri, setiap tahun ada beribu-ribu karya dihasilkan di seluruh dunia dan istimewanya setiap komposer tetap berjaya keluar dengan karya tersendiri,” katanya.
Senarai lagu dalam ManifestaSITI2020
1 ) Siapa Tak Mahu
2) Aku Bidadari Syurgamu
3)Kasihku Selamanya
4)Tertulis Nama Kita
5) 7 Nasihat
6) Kuasa Cintamu
7) Takhta Dunia
8) Teratai Menjelma
9) Basyirah
10) Terang
11) Anta Permana
You may also like
-
Sekuel Konsert Galau The Finale -Tampilkan Ungu, Rossa, Nidji, Fabio Asher, dan Exists
-
Babah Kisah Realiti Kasih Sayang – Ingatan Agar Hargai Seorang Bapa
-
Hanya Satu Nora Ariffin – Kekal Dalam Liga Penyanyi Terbaik Negara
-
Suria FM Kekal Barisan Penyampai – Catat Peningkatan 292 Ribu Pendengar
-
Ayda Jebat Terus Jadi Pilihan – Ada Jenama Kekal Sejak Sedekad