KUALA LUMPUR : Istilah Work From Home (Kerja Dari Rumah) atau WFH sudah menjadi kebiasaan dalam rutin normal baharu sejak PKP ekoran pandemik Covid-19.
Sama seperti konsep WFH, Astro menjadi stesen pertama menyiarkan karya Acting From Home menerusi telefilem berjudul 6 Hari yang akan ditayangkan malam ini.
Telefilem ‘6 Hari’ terbitan produksi Yureka Films dengan kerjasama Global Station Sdn Bhd ini diarahkan oleh Yusry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penulis skrip di samping menyandang watak utama sebagai Faizal.

Selain Yusry, telefilem ini turut diterajui oleh tiga selebriti popular tanah air iaitu Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Suzi, Dato’ Aaron Aziz sebagai Ismal dan Neelofa sebagai Linda.
Mengulas lanjut mengenai penerbitan telefilem ‘6 Hari’, Emarina Kamal selaku Pengurus Saluran Astro Ria dan Astro Citra berkata, keseluruhan penggambaran telefilem ‘6 Hari’ berjaya diselesaikan dalam masa enam hari meskipun terikat dengan kekangan terutamanya daripada segi teknikal, bekalan peralatan dan tenaga produksi sewaktu penguatkuasaan tempoh kritikal perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Uniknya, kesemua teraju utama yang menjayakan telefilem ini juga harus menjalani keseluruhan penggambaran secara sendiri dari kediaman masing-masing berdasarkan garis panduan yang diberikan.

“Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Yusry yang sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa.
“Kami berharap ‘6 Hari’ mampu membuatkan penonton bergelumang dengan mainan emosi yang mendalam. Sama-sama kita saksikan apakah kesudahan drama ini nanti,” katanya.

Telefilem ‘6 Hari’ mengisahkan tentang Suzi yang bahagia sebagai isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan yang berjaya bernama Ismal.
Suzi tinggal bersendirian di sebuah banglo kerana suaminya hanya akan pulang ke rumah setiap enam hari untuk menghabiskan masa dengan isteri-isterinya yang lain. Kehidupannya berjalan seperti biasa sehingga kemunculan bekas teman lelakinya, Faizal datang ke rumah.

Jangan lupa saksikan telefilem ‘6 Hari’ pada hari Sabtu, 13 Jun 2020, jam 9.00 malam secara eksklusif di empat buah saluran utama iaitu Astro Ria (104), Astro Ria HD (124), Astro Citra (108) dan Astro Citra HD (128). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, telefilem tersebut turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand.
Gayah yakin WFH kini budaya baru yang semakin diterima baik. Kata orang, dalam hidup kita sesuaikan perjalanan mengikut keadaan.
You may also like
-
Konsert Milenia Ditunda Ke 25 November, Tampil Persiapan Lebih Meriah
-
Kongsi Kemesraan Dengan Suami Bawa Tuah Pada Fasha Sandha
-
Liza Hanim Sedia Bersaing – Ziana Zain Iktiraf Liza Bak Berlian
-
Kesemua Pelakon Walid Boleh Bersilat – Filem Angkat Seni Mempertahan Diri Melayu
-
Bangsa? Saya Anak Malaysialah! – Daniel Cheang