BANGKIT Hargai Sokongan Penaja, Rakan Media dan Peminat Jayakan Kempen CSR Sulung

KUALA LUMPUR: Kejayaan penganjuran sulung BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni bukan hanya bergantung kepada persembahan barisan penyanyi berbakat, malah turut didukung sokongan penaja, rakan industri, media dan peminat yang bersama-sama merealisasikan inisiatif berkenaan.

Berlangsung di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH) pada 16 November lalu, kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran The Vazz Society itu mengetengahkan tiga penyanyi, Sahri, Pija Yasin dan Fatin Faishal, dalam usaha memberikan ruang serta peluang kepada bakat seni yang wajar terus diketengahkan.

Di sebalik kemeriahan acara, pihak penganjur turut merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada beberapa jenama dan usahawan yang sudi menghulurkan tajaan produk serta cenderahati sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni itu.

Gardenia NuMee, Suria FM, Yaties Kek Lapis Sarawak & BombShell Perfume by Fatin Faishal

Antaranya Gardenia NuMee yang menyumbangkan produk mi segera perisa kari untuk dinikmati tetamu, sekali gus menambah kemeriahan pemberian goodies sempena program berkenaan.

Penghargaan turut diberikan kepada Suria FM atas kesudian menaja tote bag serta pelbagai cenderahati yang menjadi kenangan istimewa kepada tetamu yang hadir.

Tidak ketinggalan, usahawan tempatan Yaties Kek Lapis Sarawak yang turut memeriahkan acara menerusi tajaan kek lapis Sarawak asli yang lazat, sekali gus memperkenalkan keistimewaan produk makanan tempatan kepada tetamu.

Bagi mereka yang ingin mengenali lebih dekat produk kek lapis berkenaan, boleh mengunjungi Instagram @yatieskeklapis_sarawak untuk melihat pilihan kek lapis yang ditawarkan.

Menariknya, penyanyi Fatin Faishal turut berkongsi sentuhan keusahawanannya menerusi tajaan wangian eksklusif Bombshell Perfume by Fatin Faishal, membuktikan bakat seni juga mampu bergerak seiring dengan bidang perniagaan.

Bagi The Vazz Society, setiap sumbangan yang diberikan amat bermakna, bukan semata-mata dinilai daripada bentuk atau nilai tajaan, sebaliknya melambangkan kepercayaan pihak luar terhadap matlamat kempen BANGKIT.

Peminat, Rakan Media & Rusa Music

Penganjur turut menghargai kesudian Bella, wakil Rusa Music, yang hadir memberikan sokongan kepada program berkenaan. Kehadiran wakil industri muzik dilihat sebagai galakan positif terhadap usaha membuka lebih banyak ruang kepada penyanyi tempatan.

Paling mencuri perhatian tentunya kehadiran peminat industri hiburan yang bukan sahaja memberikan sokongan penuh, malah begitu sporting sepanjang acara berlangsung, termasuk ketika persembahan penyanyi dan sesi interaksi bersama artis.

Suasana mesra antara artis dan peminat turut menjadikan BANGKIT lebih daripada sebuah acara hiburan biasa, sebaliknya medan yang meraikan hubungan erat antara penyanyi dengan mereka yang terus menghargai bakat dan perjuangan seni.

Rakan Media Nadi Penting BANGKIT

Dalam masa sama, penghargaan istimewa turut ditujukan kepada rakan-rakan media yang meluangkan masa membuat liputan, berkongsi kisah perjalanan seni para penyanyi serta membantu menyampaikan mesej kempen BANGKIT kepada masyarakat.

Sokongan media amat penting dalam usaha memastikan bakat yang mempunyai kualiti dan potensi tidak terus terpinggir daripada perhatian industri, khususnya dalam landskap hiburan yang semakin kompetitif.

Penganjur juga merakamkan terima kasih kepada KLIH selaku penyokong utama yang menyediakan lokasi penganjuran serta memberikan kerjasama sepanjang berlangsungnya kempen sulung itu.

Bagi The Vazz Society, kejayaan BANGKIT membuktikan bahawa usaha kecil mampu membawa makna besar apabila menerima dukungan pelbagai pihak yang berkongsi aspirasi sama untuk menghargai bakat seni tempatan.

Lebih daripada pemberian goodies, kehadiran tetamu atau liputan media, sokongan yang diterima menjadi suntikan semangat kepada penganjur untuk terus memperjuangkan peluang serta pengiktirafan yang sewajarnya buat penggiat seni.

BANGKIT mungkin bermula dengan sebuah kempen sederhana, namun semangat kebersamaan yang ditunjukkan membuktikan bahawa bakat yang benar-benar berkualiti tidak seharusnya dibiarkan padam begitu sahaja. – GIT MEDA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *