PETALING JAYA: Penyanyi popular Wany Hasrita, 30, selamat bernikah dengan lelaki pilihannya Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, dengan dua kali lafaz, di Glam Hall, Damansara Perdana, di sini, kira-kira jam 9.11 malam, hari ini.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.
Pada majlis itu, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian. Manakala wang hantaran dirahsiakan serta tidak ada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.
Wany yang popular menerusi lagu Menahan Rindu berkata, dia bersyukur majlis yang dirancang berjalan lancar dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa mendoakan yang baik-baik buat dirinya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT. Terima kasih kepada mak, ayah, keluarga, rakan-rakan, pihak media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi.
“Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang. Tanggungjawab menjadi isteri dan dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik. Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.
“Saya berdoa agar semoga segalanya dipermudahkan. Paling penting juga, saya mohon untuk semua mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini,” katanya.
Melalui perhubungan jarak jauh selama ini, Wany berkata mereka menjalaninya dengan baik sahaja selain Adib yang juga berasal dari Kuching, Sarawak.
“Kami okay saja ‘long distance relationship’ (LDR). Kami menjalani hubungan ini macam biasa dan tak ada isu pun. Nak kata keluar bersama, memang jarang sekali. Sepanjang tiga tahun ini, boleh kira tak lebih 10 kali. Di IG memang tak pernah letak pun gambar dia. Yang tahu saja tahu,” katanya.
Pada majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan terdekat dan media.
Majlis kesyukuran bagi meraikan pasangan pengantin baharu ini akan diadakan pada 24 Julai ini bertempat di Cheras, Kuala Lumpur. – GayahIsTyping